KUALA LUMPUR - Pelawak popular dan penyampai radio Era, Mior Ahmad Fuad Mior Badri meninggal dunia di Hospital Selayang, lewat malam tadi.
Allahyarham yang dikenali sebagai Din Beramboi menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) pukul 12.30 malam.
Menurut adik Allahyarham, Rozana Mior Badri, semua ahli keluarga berada di sisi Allahyarham kecuali ayahnya yang tidak dapat hadir.
Katanya, Allahyarham meninggal dunia akibat demam denggi berdarah yang menyebabkan beberapa organ badannya gagal berfungsi.
‘‘Jenazah abang saya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Ehsan, Kepong di sini sebelum solat Jumaat,’’ katanya ketika ditemui di hospital itu, malam ini. - Utusan
Setiap yang hidup, pasti akan mati. Pergi kita meninggalkan harta, nama, darjat, pangkat dan keturunan. Yang menjadi bekal pastinya amalan kita di atas dunia, amal jariah, ilmu yang berkekalan dan anak soleh yang mendoakan kita.
Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.
Takziah buat keluarga arwah, banyakkan sabar, tetapkan iman dan redha dengan ketentuannya. Semoga roh allahyarham Din Beramboi @ Mior Ahmad Fuad dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.... AL-FATIHAH