Showing posts with label peribadi. Show all posts
Showing posts with label peribadi. Show all posts

Dalam hidung ada biji



Keriangan makan pizza hut pada hari Ahad lepas bertukar dari gembira dan santai kepada tegang. Ahmad IQbal dengan tak semena-mena menyumbatkan sebutir kekacang daripada 'topping' pizza, masuk kedalam lubang hidung.

Apa lagi si umi tak senang duduk, tak senang berdiri. Aku pula mencari ikhtiar terlebih dahulu dengan cuba mencari jalan membuat Ahmad IQbal bersin. Harapan aku agar kacang tersebut menyembur keluar. Puas juga kami membuatkan dia bersin, tapi tak cukup kuat untuk membolehkan kacang tersebut keluar.

Akhirnya akur dengan situasi,menjelang 10.30 malam, kami sekeluarga pergi ke hospital Muar. Nasib baik kami pergi waktu malam, suasana memang tenang, orang pun tidak ramai. Kami bergegas ke kaunter 'kecemasan' dan membuat pendaftaran. Semasa mendaftar, misi berkata, "memang biasa budak umur macam ni (+/- 3 tahun) masukkan objek dalam hidung". "Ooo", jawab aku sambil menganggukkan kepala tanda faham.

Pendaftaran tidak mengambil masa yang lama. Kemudian kami diarahkan pergi menunggu di kawasan zon KUNING, ruangan separa kritikal. Aku dan Ammar Zakwan menunggu di luar, sementara Umi dan Ahmad IQbal masuk ke dalam.

Tak sampai 10 minit mereka berdua keluar dari pintu kuning. Senyum terukir di bibir umi, semua nya selesai.


Alahmdulillah, syukur kami berjaya melepasi satu lagi ujianMu ya Allah.


Kalau ramai orang asyik memperlekeh dan mempersendakan kewibawaan hospital kerajaan, aku berpendapat sebaliknya. Doktor dan jururawat yang cekap, kelengkapan yang cukup, serta layanan yang baik, ada pada mereka. Cuma mereka juga manusia, kadang-kadang ada segelintir yang hilang sabar dengan karenah pesakit / pelawat. Bila ini terjadi, seluruh warga hospital kerajaan dipersalah. Ini tidak adil.

Apa-apa pun, terima kasih kepada kakitangan kecemasan Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar, yang membantu menyelesaikan masalah kami malam itu. Tahniah kerana berjaya menangani situasi cemas sebuah keluarga.


p/s - Selamat menyambut hari lahir Ahmad IQbal, dah 3 tahun dah rupanya. Teringan kenangan masa lahir dulu, memang betul-betul menguji keimanan.

Menulis entry sambil bermain pool sementara menunggu waktu berbuka

Perut kosong, mata mengantuk, otak separa 'jam'.. Mungkin sebab kurang gula dan cecair dalam badan, atau sebab tiadanya nikotin memasuki darah.

7.15pm, memang dah dekat sangat dengan waktu berbuka puasa di Muar. Ada lebih kurang 6 minit lagi. Aku dah 2 jam rasanya menghadap laptop ni, cuba mengarang entry untuk niche blog. Sebu je otak, tak boleh nak jalan sangat. Oleh itu, aku bermain-main Yahoo pool sambil mengarang baris demi baris ayat dalam bahasa kedua kita. Haiishh.. serius otak aku kurang berinteraksi dengan jari-jariku.

Satu entry dah siap waktu Asar tadi. Ni ada lagi satu entry nak dibuat, tapi yang malas, sebab dah buat dah tajuk tu. Keyword pun sama. Tapi diaorang suruh buat lagi, takkan nak tolak plak USD. Semalam dah tolak satu job sebab dia bagi warning, "jangan buat kalau pernah amik job daripada dia dalam masa 90 hari yang lepas)".

Ni sambungan lepas berbuka. Ada lagi perkara yang nak diperkata tapi nantilah, buat entry lain plak. Harapan aku agar dapat sempurnakan puasa kali ni dengan penuh keberkatan dan keredhaan. Amin. Ok, nak sambung buat entry.

Wasalam

Kaku..



Hari demi hari semakin berjalan, berlalu pergi. Aku masih lagi di sini. Entah kenapa aku pun tak tahu. Otak aku beku untuk melahirkan idea dan jari jemari ini kaku untuk mengetuk papan kekunci komputer riba yang dah banyak berbakti ini.

Aku sendiri tak pasti apa yang terjadi. Satu nikmat telah ditarik daripada diri ini. Hanya Allah jua yang Maha Mengetahui. Aku dihimpit dengan seribu persoalan tatkala ini. Kusut dan berserabut dibuatnya. Masa aku kini sangat kurang di depan laptop. Kalau laptop sudah dihidupkan, talian internet sudah tersambung, aku termanggu dan tak dapat fokus untuk melakukan kerja-kerja online.

Pasrah dengan situasi ini, aku kini keluar semula berhadapan dengan pelanggan-pelanggan bisnes offline. Tak mampu untuk aku duduk dirumah hanya untuk termanggu menatap skrin laptop, yang berkesudahan aku klik sana, klik sini.. akhirnya aku ke meja Yahoo Pool.

Pernahkah anda menghadapi situasi yang membuntukan ini? Ada cadangan?

Lembaran pertama cuti sekolah

Cuti sekolah dah bermula sejak Jumaat dan aku pun memulakan tugas sebagai bapa mithali untuk cuti-cuti Malaysia semester persekolahan yang berlangsung selama 2 minggu.

Sebagai pembuka tirai aku dan Adam Harith pergilah menonton wayang cerita Shrek – Final Chapter dalam versi 3D. Uishh.. kagum betullah kali pertama dapat rasa pengalaman 3D dalam panggung. Semuanya macam lalu depan muka kita.. real! Terlopong kejap aku...

Kalau tengok gambar ni, apalagi, bertih jagung berlogo Shrek, yang berbesar hati untuk bergambar bersama cermin mata 3D Dolby Digital. Untuk versi 3D, kita memanglah kena pakai 'spec' canggih ni. Kalau tak pakai, memang takde 'feel' nak menonton sebab gambar akan jadi kabur.

Adam lagilah plak, ajak aku rembat spec ni. Aku cakap mana boleh, dahlah kat situ ada 'warning detectable tagging' tapi aku pesan kat dia, paling utama berdosa dan salah untuk mencuri.

Dah penat menonton dan kenyang makan pop corn & jajan, apa lagi..balik kami berdua kerumah. Seronok, terhibur dan lupa seketika masalah dalam kepala otak ni. Kalau sapa-sapa belum tonton cerita tahap 'best gaban' ni, korang boleh usya trailer kat bawah ni... jom layan...

Sindrom 'Monday Blues' %$@^#&*


 credit to google image

Jam di laptop aku menunjukkan angka7:32am, maknanya kejap lagi akan bermulalah waktu kerja untuk hari pertama dalam minggu ini. Tak dapat lari, mesti pergi masuk ke pejabat atau tempat kerja. Mood bercuti pada hari semalam masih belum hilang, apatah lagi kalau penat seharian berjalan ronda-ronada kotaraya.

Aku masih lagi didepan laptop, bersengkang mata, menyiapkan kerja-kerja upload butik online. Sambil tu curi-curi masa update blog. Dah itu yang aku pilih, blogging dan online bisnes. Kaya? Belum lagi. Cuma aku senang bekerja dari rumah.

Kalau selama ini, aku terpaksa bekejar ke pasar malam, expo (karnival), pasar tani sambil menguruskan perniagaan online. Tapi sejalk minggu lepas, aku nekad untuk jadi blogger sepenuh masa + IM (internet marketer). Aku tak terkejar buat semua tu. Aku hanya ada 2 tangan dan 2 kaki. Tak lebih, tak kurang. Kudrat aku pun terbatas.

Isteri aku cadangkan aku untuk minta kerja di firma arkitek, sebab katanya aku dah tak perlu masuk pasar malam. Tapi aku bertegas dengan fleksibel masa yang aku ada.

Kini aku sedar, kalau dulu aku ada cita-cita nak jadi jutawan. Sekarang aku akur, biarlah hidup sederhana mewah, yang penting hati dan jiwa tenang. Tenang dalam pelbagai sudut. Tenang tanpa tekanan, tenang untuk menunaikan kewajipan hamba terhadap Allah swt.

Setiap orang ada prinsip masing-masing. Setiap manusia ada cita-cita dan tekad untuk menggapai impian. Aku pernah merasa hidup dalam kemewahan. Aku juga pernah jatuh tersungkur dan segalanya lenyap. Biarlah aku bangkit semula, tapi dalam keadaan besederhana dalam segala sudut; man-man kata orang Cina.

Untuk yang ingin masuk bekerja, selamat bekerja dengan tekun dan penuh amanah. Jangan curi tulang, jangan tuang kerja. Setiap detik dan ketika anda bekerja adalah satu tanggungjawab, kalau bukan di dunia kita ter'kantoi' mengular, di akhirat sana menjawab tak terkata.

Bagi para usahawan, peniaga serta blogger sepenuh masa. Gua respek sama lu semua. Hati kena cekal, jiwa kena kental

Bukan senang nak senang, tak susah nak susah.

Wasalam

Sakit jiwa dalam menangani masalah = stress + jiwa kacau


Berbicara tentang masalah, tiada siapa yang dapat lari, selagi kita memegang 'title' manusia. Kalau anak jin mata satu, mungkin lain ceritanya.

Tentunya kita merasa tenang dan tiada tekanan bila poket penuh dengan duit, bini @ gf lawa (+baik), mak bapak (+mertua) selalu sokong kita. Cikgu atau boss pula selalu puji-puji kita 2 - 3 bakul sehari. Tapi bagaiman pula jika sesuatu tugasan itu terbengkalai, atau hutang sudah tiba ke tarikh 'luput'. Memang 'confirm' kita dan makcik pakcik kita akan emo, lagi tak rasional. Silap-silap, makan penampor goreng.

Stress + jiwa kacau + ++

Sebenarnya manusia tak dapat lari daripada masalah, yang penting cara menangani masalah bila berdepan dengannya. Tolak ketepi pemikiran yang penuh emosi, kurang rasional dan tidak waras. Buang segala tekanan sejauh mungkin, hadapi dengan penuh yakin dan tawakal.

Be gentlemen and face the problem, don't simply run away.

Kenapa aku membuat entry ni? Sebab tokey kilang t-shirt tu janji nak siapkan tempahan aku sejak Sabtu lepas, tapi semalam langsung tak jawab telefon, hatta membalas sms aku.

Tak pasal-pasal aku yang stress nak menjawab pada client.

Kusut

Kebelakangan ini aku agak kusut. Memang banyak juga jerawat yang mula menghuni dahi jendul ku ini. Entahlah, banyak sangat yang difikirkan agaknya. Terhimpit dengan bebanan kerja setup kedai online, dan juga projek dropship yang sedang dalam pembikinan. Mungkin juga disebabkan banyak kerja offline yang terbengkalai dan perlu dibereskan satu persatu.

Ketegangan dan bebanan yang terpaksa dihadapi di Gemas selama 3 minggu, pada bulan lepas memburukkan lagi keadaan. yalah, tanpa talian internet yang menepati piawaian 'SIRIM', banyak kerja yang sangkut.

Jam sekarang menunjukkan 10 minit menghampiri 4 pagi. Aku masih lagi menghadap laptop 'cari makan' ini, tatkala masing-masing sedang lena diulit intan.  Berpinau-pinau mata ini dan aku makin hilang tumpuan. Menguap dan menggeliat sudah berpuluh kali rasanya. Kerja masih lagi berloggok-longgok. Arrgghhh.. bila mau siap daa...

Sesekali aku kedapur membancuh air nescafe ais, cuba melawan mengantuk. Aku tahu, kalau kita mengantuk, tidur sahaja jawabnya. Dr Fadzilah ada menerangkannya dalam buku 50 petua orang berjaya. Lagipun, kalau dah mengantuk, prestasi kita akan menurun, fokus akan berkurang.

Aku rasa nak capai bantal lepas ni. Aku kusut...

Catatan buat Adam Harith


Adam Harith,
3 Ogos 2002, jam 3.00 pagi +0 GMT, kau menatap dunia buat pertama kalinya. Aku berbangga denganmu, penyambung warisan, pewaris 'tahta'.

Adam Harith,
Tiada kata seindah rupa, tiada bicara mengungkai rasa. Hadirmu membawa seribu erti. Kau datang membawa semangat, kau di sisi memberi inspirasi.

Adam Harith,
Kutahu, diriku hanyalah insan biasa. Salah dan silapku tetap ada. Aku bukan sesempurna manusia untuk bergelar bapa mithali, tapi ku cuba jadikan kau anak yang soleh.

Adam Harith,
Hari ini genap 7 tahun kau bernafas di atas muka bumi Allah. Maafkan aku kerana tak dapat menyambutnya bersama-sama. Bukan hari ini, tapi mungkin lain kali.

Adam Harith,
Pecayalah pada takdir, redhalah dengan qada' dan qadar. Segala kejadian, datangnya daripada Allah, semuanya ada hikmah. Semoga kau dapat harungi hari yang mendatang sebagai mukmin yang sejati, manusia beriman dan anak yang soleh. Insyaallah.

Adam Harith,
Sempena hari ini, ingin ku ucapkan, " Selamat Hari Jadi"....

Blogging, ebay, lelong, youtube, affiliate + RAJIN = duit


Salam,

Hari ni aku nak bercerita secara jujur pengalaman aku tentang Internet dan kaitannya dengan duit. Aku memang suka berniaga. Minat yang tumbuh seawal darjah 2, bila aku mula berniaga buah-buahan dari kebun di belakang rumah kepada kawan-kawan di sekolah. Keseronokan mencari duit ketika alam kanak-kanak memang menyeronokkan. Apatah bila aku boleh pergi kedai beli jajan. Maklumlah, dah bawa bekal, jadi takdelah duit poket.

Proses menyelami dunia perniagaan tenggelam timbul di sekolah menengah dan tenggelam timbul ketika di UTM. Memasuki alam pekerjaan, aku dilambung badai apabila ekonomi Asia jatuh menyebabkan kemelesetan ekonomi, membawa kepada kesukaran mencari kerja. Titik itu memberi aku pengalaman hidup berguna sebagai pekerja di MAS aircraft hanger, 7 Eleven serta menebar roti canai di Kampung Melayu Subang.

Akhirnya rezeki aku ada dan berjaya memasuki pejabat firma arkitek lanskap, melompat ke firma hiasan dalam (interiro design) dan akhirnya melangkah ke firma arkitek.

Selepas berkahwin aku melanjutkan pelajaran ke UK dan distulah segalanya bermula apabila aku mula 'tercebur' ke dunia IM melalui ebay pada 2002. Langkah aku meneroki dunia internet dan perniagaan semakin luas. Sehinggalah balik ke Malaysia pada 2005, aku berjinak-jinak pula dengan perniagaan restoran, cafe dan ice blended di pasar malam. Tak cukup tangan aku buat semua tu, ditambah lagi dengan kerja menolong menguruskan kambing jamnapari di Marang, Terengganu. Ketika itulah aku mula berjinak-jinak dengan aktivit blogging yang asalnya untuk mempromosikan kambing, tercebur pula dengan google adsense... Ebay pula masih bejalan tapi tenggelam timbul.

Akhirnya dengan ketentuan Allah, aku pulang ke kampung halaman di Muar dengan perasaan bercampur baur. Pulang dengan jiwa kosong, membawa sedikit saki baki barangan dalam store ebay. Aku bermula semula dari bawah, mendaki puncak, menongkah arus.

Di Muar aku mula kenal erti pasar malam dan ekspo. Emak aku penuh mengharap untuk aku kerja sebagai seorang arkitek. Tapi aku degil, jiwa aku adalah untuk berniaga dan menjadi bos sendiri. Sehinggalah sekarang, aku masih di pasar malam dan pasar tani. Alhamdulillah, aku dah ada kedai sendiri. Cuma keadaan ekonomi dunia yang merudum, buatkan bisnes agak goyang. Maklumlah, berniaga pun ada pasang surutnya. Aku redha dan tawakal.

Duduk di kampung sendiri dan bekerja sendiri amat seronok sebenarnya. Cuma hati kena kering, jiwa kena kental. Sekarang, aku dah makin hari bertambah ilmu, terutama dalam blogging, buat affiliate, video marketing, ebay dropship dan banyak lagi.

Entahlah aku pun tak tahu kenapa ini yang aku tulis. Sebenarnya aku nak cuba cari trafik untuk keyword goji guarana haram dan bagaimana untuk mengesan kehamilan yang masuk ke blog ni. Aku menulis ni sebab penat, rehat sekejap semalaman dan hari ni mengupas dan mencari-cari tentang ebay dropshipping. Tapi takpelah, dah tulis...


Eh... dapat baby lah!

Ni bukan gambar anak aku... aku cilok kat mana-mana guna google imej

Gambar apa tu? Yang dah jadi bapa / ibu, semestinya 100% pasti imej ni. Bagi yang masih muda belia (lom akil baligh), mungkin belum tahu atau samar-samar... Gambar ni merupakan imej scan ultrasound bagi mengesan kedududkan bayi di dalam perut. Ketumbuhan juga boleh dikesan menggunakan alat ini. Dapatlah tengok bayi (fetus) yang sepanjang lebih kurang 2 - 3 inci.Walaupun kecil, dapatlah kitaorang tengok degupan jantung dia yang sangat pantas.. fuh laju betul!






Ni sebenarnya aku nak cerita, yang menyebabkan aku 'terpergi' berjumpa doktor untuk kempen anti rokok tu... Sebelum ke Pusat Kesihatan Sg. Mati, kami dah pergi buat kad untuk mengandung di Pusat Kesihatan Kecil Rawang... Sebab Parit Bunga di bawah zon Rawang. Ni memang penting. Kalau mak bapak yang pertama kali mendapat zuriat, memang akan kabur-kabur nak buat apa... Sampaikan misi kat situ tanya, "Anak yang pertama?" ... Sebab memang kami macam bodo-bodo ayam... terpinga-pinga :P ... jadi isteri aku pun buatlah kad mengandung , segala jenis soalan ditanya dan ambil rekod untuk berat, tinggi, penyakit yang dihidapi serta banyak lagilah.

Ni gambar masa kat klinik swasta, 2 minggu sebelum tu

Bagaimana untuk mengesan kehamilan?

Untuk mengetahui samada anda mengandung atau tidak, senang sahaja, beli 'pregnancy test', lepas tu ikut je arahan kat kotak.. Kalu 1 garis, tak mengandung. kalu 2 garis... SAH! memang mengandung! Kalau jumpa doktor pun, dia akan guna alat yang sama, tak kira mahal atau murah, memang tu jelah cara yang paling senang untuk mengesan kehamilan..




Yang ni pula adalah jadual berkala unsur untuk mengetahui tempoh kelahiran. Anak aku dijangka lahir pada 2 November 2009, sehari lepas hari lahir pakcik Seli dia...

Apa perasaan dapat anak? Best kan? Sebab tu adalah rezeki Allah...

Untuk yang belum lagi hamil dan inginkan petua atau tips untuk mengandung, mungkin panduan ini boleh membantu.


Subjek sains untuk 100%

Orang kata Adam Harith ni nakal. Ramai yang kata dia degil. Aku akui dia terlebih hormon (hyper aktif). Tapi bak kata Dr. fadzillah Khamsah, kena panggil budak kreatif. Tahun ni Adam Harith baru masuk darjah 1.

Semalam aku telefon dia kat Terengganu, tiba-tiba dia kata, "I get 100 for science"... Wow, tu yang aku kata dalam hati, ada perasaan berbunga. "What else you already get the results?" "English, I got B". "How come you get B for English while you are speaking English?" "I don't know, ask Tok Ma (nenek)".

Pelik juga sebab dia kata kawan-kawan dia ada yang dapat A untuk English, sedangkan dia bercakap Bahasa Inggeris dengan Tok Pa, aku dan maknya. Tapi kebelakangan ni, English dia makin lintang pukang. Tak kira lagi Bahasa Melayu dia yang memang agak kelam kabut : campuran loghat Terengganu + alih bahasa secara terus (direct translation).

Aku selalu berdoa untuk Adam Harith. Tu antara bekalan aku dan juga petua untuk dia jadi insan yang kamil, anak yang soleh. Aku harap, Adam Harith akan lebih cemerlang, gemilang dan terbilang. Semoga dia jadi insan berjaya dunia dan akhirat. Itu doa aku sebagai seorang bapa.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...