Perkongsian menarik daripada Datuk Abdul Jalil Ali yang menulis di dalam
Sinar Harian. Menarik untuk dibaca. Penuh makna untuk difahami.
Dek kerana politik, manusia bertelagah,
racism menebal dalam diri.
Jom baca sampai habis.
TIDAKLAH saya tahu siapa nama sebenarnya. Setiap kali
bertemu, saya hanya memanggilnya ‘bos’. Dia pun tidak pernah bertanya
siapa nama saya. Tetapi sebaik masuk ke kedainya, dia juga akan
memanggil saya ‘bos’. Pendek kata, bos sama bos, tidak ada masalah.
Dia seorang lelaki India – ada tanda merah di dahinya – yang sekali
setiap bulan saya bertemu di kawasan rumah pangsa berhampiran taman
perumahan tempat tinggal saya. Sudah lebih lima tahun saya menjadi
pengunjung tetapnya.
Sejak zaman Hang Tuah orang kita pantang kepala diusik, lebih-lebih
lagi oleh orang bukan Melayu. Tetapi bos bukan sahaja mengusik, malah
memegang dan memulas-memulas kepala saya. Saya rela tanpa sebarang
masalah. Sebab dia tukang gunting rambut.
Sepanjang lima tahun berkenalan, banyak yang saya ceritakan padanya.
Banyak juga yang dia, tanpa paksaan, berkisah mengenai latar belakang
keluarganya. Antaranya, dia sudah memulas kepala orang lebih 20 tahun,
isterinya suri rumah sepenuh masa, anak tiga orang semua sudah kerja makan gaji.
“Dia orang semua suruh saya berhenti, duduk rumah sama isteri, makan
baik-baik, tidur baik-baik,” kata bos bernada serius dan menambah: “Tapi
saya banyak suka ini kerja, bukan duit punya hal, tapi sini ada banyak
kawan, Cina, Melayu, India semua...”
Penutup bagi setiap kali sesi bergunting rambut ialah apabila dia
bertanya: “Bos mau patah kepala ka?” Tidak sedikit pun saya tersinggung
dengan pertanyaan seperti itu, malah segera saya menjawab: “Tentu mahu
patah punya, bos!”
Dan dengan senang hati pula kedua tangannya memegang atas kepala dan
bawah dagu saya, sambil memulas ke kiri, berbunyi ‘krup’, dan pulas pula
ke kanan, ‘krap’. Perkhidmatan krup-krap ini – hendak boleh tak mahu
pun tidak mengapa, tanpa bayaran tambahan – betul-betul sedap dan puas.
Pendek kata bagaikan tidak lengkap, dan tidak akan lena tidur,
sekiranya kepala tidak dipatahkan. Terasa lega dalam kereta, dan nyaman
dengan air wangi khas yang disapu ke leher dan kepala saya.
Sebenarnya sejak kecil ketika di kampung, saya sudah biasa bergunting
rambut di kedai India. Dulu-dulu kalau sebut gunting rambut, mesti
India. Jarang ada Cina atau Melayu jadi tukang gunting.
Harga gunting ketika itu hanya 30 sen. Kalau tidak cukup duit, bayar 25
sen pun ‘aney’ yang sentiasa mengunyah sirih itu akan terima. Malah,
ada orang kampung yang setelah selesai bergunting baru mengaku: “Aney,
saya cuma bawak 15 sen” dan tukang rambut hanya berkata: “Boleh hutang,
lain bulan bayar...”
Gunting kedai India, belanja kedai Cina. Ini tradisi sejak dulu di
kampung saya di Hulu Muar, juga menjadi kebiasaan di tempat lain. Selalu
saya dan abah ke kedai ‘Agor’ – sebenarnya ‘Ah Goh’ – untuk beras,
tepung gandum, ikan masin, dan gula-gula getah kesukaan saya.
Kalau ada duit abah bayar tunai. Sekiranya tidak ada duit pun boleh
ambil barang menggunakan ‘kad kredit’ @ buku kecil 555 yang sentiasa ada
di laci kedai runcit itu. ‘Agor’ akan tulis barang yang diambil, cukup
bulan bayar, tanpa sebarang faedah.
Hari ini saya yakin sebahagian besar rakyat tidak ada masalah pun untuk
meneruskan kemesraan dan setia kawan masyarakat berbilang kaum di
negara ini. Tidak payah diucapkan pun ‘wa caya lu, lu caya wa’, jauh di
lubuk hati sama-sama tahu dan boleh menerima kita sebagai satu bangsa.
Tidak kira Cina, Melayu, India, Dusun, Kadazan, Murut, Jawa, Minang,
Mamak dan lain-lain kita okey sebagai rakan. Boleh semeja makan roti
canai, nasi lemak, tose, yong taufu.
Tidak timbul soal siapa warganegara, siapa pendatang. Tidak timbul soal
warna. Saya sentiasa warna-warni – kuning, merah, biru, hijau, putih,
hitam, kelabu tahi anjing, ungu. Tidak ada masalah.
Ada pun yang sengaja mencari masalah adalah orang-orang politik.
Masing-masing berlaga ego kerana politik. Ada yang hendak melempang
Cina, ada juga yang kata ‘cilaka punya Melayu’. Kalau tidak sebab
politik, kata-kata itu biasa sahaja. Politik punya fasal, yang biasa pun
boleh jadi luar biasa.
Pedulikan dan biarlah orang-orang politik bergaduh sesama mereka. Itu
memang kerja mereka. Orang biasa jangan terikut-ikut hingga keliru dan
gelabah. Sebagai rakyat, kita teruskan kemesraan dan persefahaman
seperti dulu-dulu. Jom!