Tiada siapa yang pasti akan mengambil serius orang seperti Psy. Usianya sudah 34 tahun, bertubuh besar dan seorang ahli muzik yang dikatakan gagal. Perawakan beliau lebih sesuai menjadi penyangak dalam filem Korea. Tetapi Psy atau nama sebenarnya Park Jae-Sang telah membuktikan bahawa kreativiti boleh mengubah segala-galanya.
.. ... nah amiklah RM100,000 ..
Video Gangnam Style yang dihasilkannya mencecah angka 805 juta ‘views’ di YouTube pada hari Sabtu minggu lalu. Ia telah mengalahkan lagu Baby oleh penyanyi remaja Justin Bieber yang mencatatkan tontonan 803 juta. Ini fenomena luar biasa dalam dunia hiburan. Gangnam Style menjadi ikutan di seluruh dunia. Semua orang mahu mencuba gaya tarian kuda ciptaan Psy – dari penyanyi terkenal Britney Spears hinggalah Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-Moon. Malah Ki-Moon mengakui di tengah ketidakstabilan dan kekacauan dunia hari ini, nampaknya hanya Psy yang mampu menyatukan penghuni planet ini dengan tariannya.
Apakah pengajaran daripada Psy dan Gangnam Style? Kreativiti. Hari ini kreativiti menjadi enjin penggerak pada perubahan atau transformasi dunia. Teknologi dicorakkan oleh kreativiti. Demikian juga industri kandungan yang amat dinamik pada masa ini. Kreativiti serta inovasi telah mencorakkan tatacara manusia berkomunikasi, berhibur dan bermasyarakat.
Psy contoh terbaik bagaimana kreativiti mengubah hukum hakam dunia hiburan. Cara dan kaedah lama telah dicabar malah ditinggalkan. Pendekatan lama mungkin tidak lagi relevan. Bayangkan, kini seorang daripada setiap lapan orang penduduk dunia telah menonton video Psy. Ini bermakna seluruh dunia terpaku pada bakat dan kreativiti seorang manusia yang dianggap ‘tidak mungkin boleh berjaya selama ini’. Berapa banyak lagi Psy di dunia hari ini – mereka yang sudah dilabel gagal tetapi mencipta nama disebabkan usaha, ketekunan dan kreativiti.