Isu anti vaksin

Dalam beberapa hari ini sedang kecoh isu pengambilan vaksin dan juga golongan anti vaksin. Lebih parah akibat kematian disebabkan kedegilan unttuk tidak mengambil vaksin.

Apa kata pakar? Baca penerangan berikut:

KENYATAAN MEDIA PERSATUAN PAKAR-PAKAR PERUBATAN KELUARGA MALAYSIA (FMSA) MENGENAI ISU VAKSIN

Saya merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia semalam mengenai vaksinasi dalam isu kes Kematian 2 kanak-kanak akibat serangan Difteria. Persatuan Pakar-Pakar Perubatan Keluarga Malaysia ( FMSA) menyokong penuh saranan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah tersebut agar ibubapa memastikan anak-anak diberi imunisasi yang secukupnya. Pemberian vaksin adalah satu ikhtiar untuk mengelakkan dari mendapat penyakit-penyakit berjangkit yang berbahaya seperti Polio, Tb, Pertusis, Difteria dan pelbagai lagi. Sudah tentu kesungguhan optimum telah, sedang dan akan dilakukan oleh pihak KKM bagi membendung gajala wabak kuman tersebut bagi memastikan rakyat sihat. Penyakit tersebut berisiko tinggi membawa maut atau mendatangkan komplikasi yang serius. Kaedah yang paling ampuh ketika ini adalah pencegahan melalui vaskinasi. KKM juga menjamin bahawa vaksin yang diberikan adalah selamat untuk digunakan.

Dari Pemantauan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari data klinik kesihatan menunjukkan bilangan kes-kes yang menolak vaksin di kalangan ibu bapa meningkat dari 470 kes pada 2013 kepada 1,292 kes (2014) dan 1,054 kes sehingga bulan Mei lepas. Amat membimbangkan kerana kejadian penyakit cegahan vaksin dalam negara menunjukkan peningkatan dalam tempoh tiga hingga lima tahun lepas. Contohnya bilangan kes measles (campak) meningkat dari 235 kes pada 2014 kepada 539 kes sehingga September 2015, manakala penyakit Pertusis (batuk kokol) pula bertambah dari 497 kes (2014) kepada 655 kes tahun 2015. Manakala bilangan kes Tetanus (kancing gigi) juga meningkat hampir dua kali ganda daripada 12 kes pada 2014 kepada 22 kes sehingga September 2015.

Mengikut maklumat yang kami perolehi, ramai ibu bapa telah mulai sedar akan kealpaan mereka. Terdapat di antara mereka menghubungi pihak FMSA untuk pemberian vaksin semula kepada anak-anak mereka yang sudah tercicir sekian lama. Pakar-pakar perubatan Keluarga (FMS) yang bertebaran seluruh negara di klinik-klinik kesihatan sudi menghulurkan tangan membantu ibubapa yang ingin mendapatkan khidmat nasihat, serta menjadualkan semula vaksin kepada anak-anak mereka. Pakar-pakar perubatan keluarga terlatih dalam membantu anak-anak yang keciciran vaksinasi dan kami semua sedia membantu demi kesejahteraan rakyat negara ini.

Kami menjemput dengan penuh takzimnya kanak-kanak yang tercicir imunisasi ke klinik kesihatan yg berdekatan utk mendapatkan imunisasi yg sewajarnya.

Sekian

Dr Norsiah Ali
Presiden
Persatuan Pakar-pakar Perubatan Keluarga Malaysia

23 JUN 2016

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...