HANGAT: Rela India pulas kepala saya




Perkongsian menarik daripada Datuk Abdul Jalil Ali yang menulis di dalam Sinar Harian. Menarik untuk dibaca. Penuh makna untuk difahami.

Dek kerana politik, manusia bertelagah, racism menebal dalam diri.

Jom baca sampai habis.


TIDAKLAH saya tahu siapa nama sebenarnya. Setiap kali bertemu, saya hanya memanggilnya ‘bos’. Dia pun tidak pernah bertanya siapa nama saya. Tetapi sebaik masuk ke kedainya, dia juga akan memanggil saya ‘bos’. Pendek kata, bos sama bos, tidak ada masalah.

Dia seorang lelaki India – ada tanda merah di dahinya – yang sekali setiap bulan saya bertemu di kawasan rumah pangsa berhampiran taman perumahan tempat tinggal saya. Sudah lebih lima tahun saya menjadi pengunjung tetapnya.

Sejak zaman Hang Tuah orang kita pantang kepala diusik, lebih-lebih lagi oleh orang bukan Melayu. Tetapi bos bukan sahaja mengusik, malah memegang dan memulas-memulas kepala saya. Saya rela tanpa sebarang masalah. Sebab dia tukang gunting rambut.

Sepanjang lima tahun berkenalan, banyak yang saya ceritakan padanya. Banyak juga yang dia, tanpa paksaan, berkisah mengenai latar belakang keluarganya. Antaranya, dia sudah memulas kepala orang lebih 20 tahun, isterinya suri rumah sepenuh masa, anak tiga orang semua sudah kerja makan gaji.

“Dia orang semua suruh saya berhenti, duduk rumah sama isteri, makan baik-baik, tidur baik-baik,” kata bos bernada serius dan menambah: “Tapi saya banyak suka ini kerja, bukan duit punya hal, tapi sini ada banyak kawan, Cina, Melayu, India semua...”

Penutup bagi setiap kali sesi bergunting rambut ialah apabila dia bertanya: “Bos mau patah kepala ka?” Tidak sedikit pun saya tersinggung dengan pertanyaan seperti itu, malah segera saya menjawab: “Tentu mahu patah punya, bos!”

Dan dengan senang hati pula kedua tangannya memegang atas kepala dan bawah dagu saya, sambil memulas ke kiri, berbunyi ‘krup’, dan pulas pula ke kanan, ‘krap’. Perkhidmatan krup-krap ini – hendak boleh tak mahu pun tidak mengapa, tanpa bayaran tambahan – betul-betul sedap dan puas.

Pendek kata bagaikan tidak lengkap, dan tidak akan lena tidur, sekiranya kepala tidak dipatahkan. Terasa lega dalam kereta, dan nyaman dengan air wangi khas yang disapu ke leher dan kepala saya.

Sebenarnya sejak kecil ketika di kampung, saya sudah biasa bergunting rambut di kedai India. Dulu-dulu kalau sebut gunting rambut, mesti India. Jarang ada Cina atau Melayu jadi tukang gunting.

Harga gunting ketika itu hanya 30 sen. Kalau tidak cukup duit, bayar 25 sen pun ‘aney’ yang sentiasa mengunyah sirih itu akan terima. Malah, ada orang kampung yang setelah selesai bergunting baru mengaku: “Aney, saya cuma bawak 15 sen” dan tukang rambut hanya berkata: “Boleh hutang, lain bulan bayar...”

Gunting kedai India, belanja kedai Cina. Ini tradisi sejak dulu di kampung saya di Hulu Muar, juga menjadi kebiasaan di tempat lain. Selalu saya dan abah ke kedai ‘Agor’ – sebenarnya ‘Ah Goh’ – untuk beras, tepung gandum, ikan masin, dan gula-gula getah kesukaan saya.

Kalau ada duit abah bayar tunai. Sekiranya tidak ada duit pun boleh ambil barang menggunakan ‘kad kredit’ @ buku kecil 555 yang sentiasa ada di laci kedai runcit itu. ‘Agor’ akan tulis barang yang diambil, cukup bulan bayar, tanpa sebarang faedah.

Hari ini saya yakin sebahagian besar rakyat tidak ada masalah pun untuk meneruskan kemesraan dan setia kawan masyarakat berbilang kaum di negara ini. Tidak payah diucapkan pun ‘wa caya lu, lu caya wa’, jauh di lubuk hati sama-sama tahu dan boleh menerima kita sebagai satu bangsa.

Tidak kira Cina, Melayu, India, Dusun, Kadazan, Murut, Jawa, Minang, Mamak dan lain-lain kita okey sebagai rakan. Boleh semeja makan roti canai, nasi lemak, tose, yong taufu.

Tidak timbul soal siapa warganegara, siapa pendatang. Tidak timbul soal warna. Saya sentiasa warna-warni – kuning, merah, biru, hijau, putih, hitam, kelabu tahi anjing, ungu. Tidak ada masalah.

Ada pun yang sengaja mencari masalah adalah orang-orang politik. Masing-masing berlaga ego kerana politik. Ada yang hendak melempang Cina, ada juga yang kata ‘cilaka punya Melayu’. Kalau tidak sebab politik, kata-kata itu biasa sahaja. Politik punya fasal, yang biasa pun boleh jadi luar biasa.

Pedulikan dan biarlah orang-orang politik bergaduh sesama mereka. Itu memang kerja mereka. Orang biasa jangan terikut-ikut hingga keliru dan gelabah. Sebagai rakyat, kita teruskan kemesraan dan persefahaman seperti dulu-dulu. Jom!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...