Al-Fatihah buat Almarhum SULTAN Johor


SULTAN Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail mangkat jam 7.15 malam tadi selepas dimasukkan ke Hospital Pakar Puteri di Johor Bahru kerana gering. Baginda berusia 77 tahun dan memerintah Johor hampir tiga dekad.

Berikutan kemangkatan Almarhum, Tunku Ibrahim Ismail dimasyhurkan secara rasmi sebagai Sultan Johor dalam satu upacara yang diketuai Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman di Istana Besar, jam 10.21 pagi ini.

Abdul Ghani berkata jenazah Almarhum Sultan akan dibawa dari Istana Besar 1.30 tengah hari untuk upacara pemakaman di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, di sini, jam 2 petang.

Mengenai peraturan berkabung, beliau berkata:

  • Orang-orang Melayu perlu memakai tanda perkabungan kain putih selilit saja selebar dua inci pada songkok.
  • Bagi lain bangsa dan agama, mereka perlu memakai selilit kain hitam selebar tiga inci di lengan kiri dan bertali leher warna hitam.
    Katanya, bagi yang memakai uniform dan memakai uniform pada majlis tertentu, mereka perlu melilit kain hitam selebar tiga inci di lengan kiri.
    "Bagi perempuan Melayu, mereka hendaklah memakai tudung kepala warna putih manakala bagi orang perempuan lain bangsa dan agama, mereka perlu memakai selilit kain hitam selebar tiga inci di lengan kiri," katanya. 
  • Bagi upacara pemakaman pula, lelaki Melayu perlu memakai baju Melayu teluk belanga serba hitam dan lilitan kain putih di songkok hitam manakala lelaki bukan Melayu perlu memakai lounge suit warna hitam, tali leher hitam dan selilit kain hitam tiga inci di lengan kiri.  
  • Bagi yang memakai uniform, mereka perlu melilit kain putih berukuran dua inci di songkok. Segala darjah dan pingat juga hendaklah dipakai, katanya. 

Sumber Berita Harian

Semoga roh almarhum baginda dicucuri rahmat dan ditempat dikalangan orang-orang yang beriman.. Amin.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...