Topangnya patah dua




Hari itu seperti lazimnya aku ke ibu kota atas urusan perniagaan. Kereta diletakkan di Melaka Sentral dan aku menaiki bas ekspres Transnasional. Sejurus bas mula bergerak, aku merelakan diri lena diulit mimpi. Mungkin dapat mimpi jumpa puteri kayangan, takpun jadi jutawan?

Lebih kurang 4 jam di KL, maka selesailah segala urusan. Sempat aku solat Magrib di Masjid Jamek. Selepas solat, aku bergegas menuju ke stesen LRT untuk meneruskan perjalanan pulang ke Bukt Jalil.

Dalam pada itu, aku ternampak seorang lelaki pertengahan umur berjalan menggunakan topang. Dia juga menuju ke stesen LRT. Langsung tidak kelihatan kekok dia menggunakan topang tersebut. Sebelah kakinya pendek, hanya di paras lutut kaki kanannya yang normal.

Tatkala aku tinggal beberapa tapak sebelum memijak tangga stesen LRT, lelaki tersebut jatuh secara tiba-tiba. Aku bergegas meluru ke arahnya. Rupa-rupa, topangnya patah dua. Beberapa orang yang sedar kejadian itu, mula mengelilinginya.

Dia jelas tampak gelisah. Mana taknya, dia langsung tak mampu untuk berdiri tanpa bantuan. Sambil itu, dia menahan sakit dibahagian jari jemarinya akibat terhentak ke aspal. Kemudian dia berkata, "Siapa-siapa yang ada motor, saya minta jasa baik tolong hantarkan saya ke rumah. Rumah saya kat Sentul", ujarnya lagi.

Masing-masing terpinga-pinga sebab hampir semuanya di situ menaiki LRT, termasuklah aku. Mana nak cari motor. Aku bukannya kenal siapa-siapa pun di situ.

Tiba-tiba, seorang lelaki menyuarakan hasratnya menolong memapahnya sampai ke tepi jalan. “Takpe bang, saya tolong papah abang, lepas tu kita tahan teksi”. “Tapi, saya duduk rumah flat. Sampai sana, saya kena ada orang yang tolong saya untuk masuk lif dan naik keatas”, ujar lelaki bertopang.

Buntu lagi. Masing-masing terdiam. Sambil itu, peniaga yang ada bersebelahan kami cuba mencari-cari pemilik motorsikal yang sudi untuk menghantar lelaki bertopang pulang.

Lelaki bertopang nampak resah. Jam sudah menghampiri 8.30 malam. Warga kota sibuk lalu lalang di sekeliling kami, seolah-olah tiada apa yang istimewa berlaku. Mungkin mereka hendak cepat sampai ke destinasi yang dituju.

Masa berdetik. Masalah lelaki bertopang masih belum selesai. Si lelaki yang berhasrat memapahnya mencelah lagi, “takpe bang, saya ikut abang. Saya hantar sampai ke rumah”.

“Tapi saya berat. Suasah awak nak papah saya”, lelaki bertopang masih lagi berat dengan pelawaan lelaki perihatin itu.

Tiba-tiba, ada seorang pakcik datang ke arah kami. Dia berkata, “saya ada motor. Saya hantar sampai ke rumah”. Kesanggupan pakcik bermotor membuatkan kami menarik nafas lega. Syukur, satu masalah selesai. Sebuah kesulitan berjaya diatasi.

Kami semua menolong mengangkat lelaki bertopang bangun dari duduknya. Begnya diletakkan ke dalam raga motosikal. Dia mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua yang membantunya.

“Terima kasih kerana perihatin”, ujarnya. Satu ungkapan yang aku rasakan sungguh besar maknanya bagi lelaki bertopang. Sungguh ikhlas kurasakan ucapanya yang ringkas itu.

Aku berasa syukur lahir dalam keadaan sempurna tubuh fizikal dan mental. Tika itu dapat aku rasakan betapa perlunya aku bersyukur. Walaupun ada tikanya berasa sangat susah ditimpa ujian Allah s.w.t, masih ada insan yang diberi ujian dan dugaan yang lebih besar.

Jika secebis ujian menjadikanku ‘jiwa kacau’, apalah sangat jika dibandingkan dengan lelaki bertopang. Saat detiknya dia jatuh sebentar tadi, memang luluh segala kekuatan. Hanya ehsan yang ditagih.

Tapi aku pasti, ada kekuatan dalam dirinya yang jauh lebih besar berbanding jiwa kacau yang melanda diri. Syukurlah aku masih bernafas dibumi ini, menikmati segala kurniaan Ilahi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...