Maulidur Rasul (dalam bahasa Arab bermaksud kelahiran Rasul) adalah hari bersejarah keputeraan baginda Nabi Muhammad s.a.w.
Mengikut Kamus Dewan Edisi Empat pula, Maulidur Rasul bermaksud "ulang tahun hari keputeraan Rasulullah SAW".
Maulidur Rasul juga disebut sebagai Maulud Nabi, mengikut bahasa perbualan kebanyakan rakyat Malaysia.
Hari besar ini jatuh pada hari ke-12 bulan Rabiul Awal sempena kelahiran Nabi yang jatuh pada pada Isnin ( Dari hadith riwayat Muslim, 8/25 ) 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan dengan 23 April 571. Baginda adalah nabi terakhir yang diutus oleh Allah Subhanahu Wataala. Tapak kelahiran baginda pula kini mempunyai satu bangunan kecil yang dikenali sebagai Maulid Nabi.
Setiap tahun pada hari itu, umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad s.a.w dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya. Banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wataala kepada mereka yang dapat mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul.
rujukan wikipedia, prpm.dbp.gov.my.
Terdapat PRO dan KONTRA tentang persoalan "Perarakan Maulidur Rasul : Wajar Diterus Atau DiUbah?". Bagi menjawab teka-teki atau isu ini, ada dipetik beberapa penerangan dan pendapat Uzar seperti di bawah ini;
Sebagaimana kita tahu dan faham, sambutan Maulidur Rasul sepatutnya bertujuan untuk memperingati kelahiran baginda Nabi Muhammad s.a.w atau yang lebih penting adalah perlantikan baginda menjadi Rasulullah. Setakat mengenang tarikh kelahiran semata-mata tanpa mengenengahkan inti risalah, mesej dan perjuangan yang dibawa oleh baginda Nabi adalah suatu kesilapan dalam pendekatan dan memahami keutamaan.
Persoalannya, adakah sebuah perarakan dengan pakaian seragam, mengangkat sepanduk puji-pujian, sambil berselawat mampu membawa kita ke arah objektif itu? Jika itulah upacara utamanya, saya kira ia benar-benar sebuah antiklimaks serta TIDAK memberi banyak manfaat dari sudut akhiratnya, di tambah pula lagi di ketika wujudnya pertikaian pada sambutan Maulidur Rasul itu sendiri. Jika begitu, apa yang patut dibuat?
Kesimpulannya, menurut pandangan saya, sambutan Maulidur Rasul melalui perarakan walau ia telah dilaksana turun temurun di Malaysia, ia tidaklah mampu menunaikan hak baginda Rasullullah dan Islam itu sendiri. Ia jelas, tersasar dari objektif utama perjuangan Rasulullah, apa yang sepatutnya lebih ditumpukan dan disalurkan peruntukan besar adalah program meningkat kesedaran terhadap inti perjuangan dan mesej Islam.
Memandangkan orang kita hanya melebihkan untuk menikut sunnah nabi bila timbul isu poligami, apa kata kita cuba lebihkan pada sunnah-sunnah yang lain seperti adab makan, adab ke tandas, adab bercakap, adab kepada tetamu dan banyak lagi perkara-perkara kecil yang sepatutnya kita terpkan kepada diri dan anak-anak kecil.
Semoga umat Islam dapat menerapkan keperibadian Nabi Muhammad s.a.w ke dalam jiwa dan hati kita. Jadilah pemaaf, penyabar dan merendah diri, sesuai dengan sifat-sifat nabi kita. Mungkin dengan lebih penghayatan, keruntuhan moral dan akhlak remaja kita dapat dibendung dan dikawal daripada rosak, dan terus membusuk.
wasalam.