SAMPAH BAGIMU, HIDANGAN KELUARGAKU.



SAMPAH BAGIMU, HIDANGAN KELUARGAKU.

Suami saya adalah pembekal ayam kampung di negeri ini. Alhamdulillah, banyak restoran-restoran yang menyajikan lauk ini di Kuantan, suami sayalah watak disebalik cerita.

Kebanyakan restoran mahukan ayam yang telah dipotong mengikut kehendak mereka. Ada yang potong 4, ada potong 8!

Apabila ayam dipotong, hampir semua kedai tidak mahu ambil kaki ayam, hati, pedal dan organ dalaman lain. Leceh untuk disimpan agaknya.

Selalunya suami saya akan menyimpan kaki-kaki ayam dan hati ayam ini dalam freezer besar di rumah. Tapi kalau dah masuk 2 minggu dan stok ayam masuk lagi, tempat yang terhad memaksa suami saya mencari jalan untuk mengosongkan freezer dari barang lain. Maka jalan terakhir, tanam atau buang sahaja kaki dan hati ayam ini jika tidak disedekah kepada orang lain.

'Ada kaki ayam tak? Kak Yah nak sikit.' Pesanan ringkas dari kakak sulung saya di satu pagi.

Kebetulan suami saya dah merungut kaki ayam dan hati yang banyak dalam freezer. Kami ambil keputusan menghantar sendiri semuanya ke rumah kakak. Sebenarnya ni satu jalan mudah. Jika kakak datang sendiri, pasti sedikit saja dia ambil. Tapi jika kami hantar dengan kenderaan pacuan empat roda kami, dah pasti kami boleh kosongkan freezer bahagian kaki ayam dan hati sekelip mata. Bagi semua! Padan muka kakak uruskan. 😂

Kami hantar dan terus pulang ke rumah. Lupakan hal kaki ayam.

Esoknya, saya terima pesanan yang sangat panjang dalam aplikasi WhatsApp dari kakak.

'Ti, tau tak. Semalam kak tengok banyak betul kaki dengan hati ayam hampa bagi. Terkejut jugak. Kak rendam semua. Bila dah lembut, kak bungkus. Kak panggil jiran-jiran datang ambil. Mula-mula serba salah juga. Bimbang orang kata: sampah, kau sedekah. Tapi kak fikir, bagi sajalah. Siapa nak, ambil. Tak nak, jangan ambil. Tapi, ramai betul datang ambil. Alhamdulillah habis semuanya.'

Tersenyum saya membacanya. Kemudian dia menyambung.

'Semalam, lepas ajar budak-budak mengaji. Ada seorang jiran kak 'message'.

Terima kasih Kak Yah, bagi kaki ayam tadi. Syukur sangat. Tak tahulah nak cakap macamana. Semacam betul-betul Allah hantar kaki ayam ni pada kami sekeluarga. Sebenarnya dah dua hari kami anak-beranak tak makan. Suami saya kena tangkap polis kes mencuri. Saya tak tahu nak pujuk macamana dah anak saya yang menangis lapar. Makanan di rumah satu pun tak ada. Tiba-tiba Kak Yah bagitau suruh datang rumah ambil kaki ayam ni. Allah. Macam ajaib. Terima kasih Kak Yah. Dah tidur anak-anak saya dapat makan malam ni. Terima kasih sangat-sangat.

Ti, kak tulis ni pun sambil menangis. Lepas ni hampa jangan buang lagi kaki ayam. Bagi kak. Kak nak bagi pada jiran-jiran. Kita tak tahu siapa dapat kita selamatkan dari lapar asbab bagi benda yang kita anggap 'sampah' ni.'

Allah Allah.

Menangis saya baca.

Sungguh, zaman sekarang dah mengubah banyak corak hidup kita. Kita dituntut untuk jaga hak seorang jiran. Tapi, kita makin jauh.

Kita dituntut supaya tidak tidur selagi ada jiran yang masih kelaparan kerana kemiskinan tapi kita langsung tak ambil tahu.

Yang paling dahsyat, ada juga yang tak kenal pun jiran-jirannya. Rupa bagaimana. Kerja apa. Anak berapa orang. (Sayalah itu) Allahu.😭

Sedekahlah. Beri apa yang ada dalam tangan. Bantu tanpa mengharap ia dinilai dan kita dapat pujian. Beri tanpa harap apa-apa.

Khalas!

Beri kemudian lupakan.

Allah Allah. Berilah kami peluang yang banyak untuk bersedekah. Sungguh kami selalu leka. Jangan balas kami dengan takdir buruk di akhirat kerana kelalaian kami pada hak saudara kami yang susah. Dalam pada teruja dengan menu-menu berbuka yang serba maknika, berilah kami ruang untuk menghilangkan lapar orang yang teruji.

Sumber perkongsian whatsapp

Sungguh, kamilah hambamu yang hina dan selalu lupa...

Sampah bagi kita, kadang jadi hidangan hebat bagi satu keluarga yang dalam kesusahan.

Moga Allah ampunkan kami.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...