Bijak Berbelanja : Jihad Melawan Nafsu

Hari ini 17 Ramadhan, sudah hampir mencecah 2/3 hari daripa sebulan tempoh kita berpuasa. Keghairahan melayan nafsu ketika membeli juadah berbuka sudah mula berkurangan, berbanding ketika minggu pertama berpuasa. Alhamdulillah, ramai daripada kita mungkin sudah mula beringat untuk berjimat dan berbelanja secara bijak. Tidak terlalu membazir dalam menangani 'rambang mata' membeli juadah dan lauk pauk untuk santapan berbuka.

Mungkin di kalangan kita masih berjaya mengawal nafsu, diimbangi dengan akal. Maklumlah tahun ini hari raya puasa jatuh dalam bulan Oktober, bermakna tidak ramai yang akan mendapat bonus untuk berbelanja sakan. Tambahan pula harga minyak yang baru sahaja naik, memungkinkan bahana pelbagai barangan runcit, basah dan kering akan turut terkena tempias kenaikan harga.

Negara kita Malaysia apabila memasuki penghujung tahun pula biasanya akan memasuki fasa musim tengkujuh, seterusnya banyak aktiviti ekonomi akan terjejas dengan kedai makan serta gerai-gerai kecil merudum jumlah pengunjungnya. Bagi penoreh getah dan nelayan, musim hujan adalah waktu yang menggugat keimanan mereka dengan ujian Allah. Mungkin ini hikmahnya bagi kita mencari alternatif lain untuk mencari sesuap nasi. Mungkin juga menyuruh kita meluangkan lebih masa bersama isteri dan anak-anak tercinta di rumah.

Bagi yang makan gaji, musim hujan mungkin tidak memberi impak yang besar kepada mereka. Walau bagaimanapun, harus diingat, berbelanjalah mengikut keperluan, jangan ikut nafsu. Buatlah pertimbangan sewajarnya dalam membeli belah untuk persiapan hari raya Aidilfitri. Mana-mana set kerusi sofa dan langsir atau cadar yang masih elok, kenapa tidak kita gunakan kembali? Jangan membazir dan fikir untuk jangka masa panjang.

Bagi pemegang kad kredit, waspada dengan helah 'wang plastik' ni. Memang seronok mebeli belah tanpa membawa wang sesen pun. Tapi awas, pastikan anda mampu membayar semula tanpa dikenakan faedah (interest) dari pihak bank pengeluar kad kredit @ kad hutang. Zaman ini bukanlah zaman bermegah dengan kad kredit berstatus 'gold' atau 'platinum'. Ubahlah persepsi minda anda. Penggunaan kad kredit tidak menguntungkan, malah membawa padah.

Pemegang kad kredit atau debit, pastikan anda tidak terpedaya dengan:
  1. *Ada sesetengah peniaga mensyaratkan pembelian minima (sekurang-kurangnya RM 50) - sedangkan anda ingin membayar harga barangan untuk RM35, terpaksa beli barangan lain pula untuk membolehkan anda menggukan kad debit / kredit.
  2. *Bagi pemegang kad debit, asingkan jumlah baki tertentu sahaja untuk belanja bagi petrol atau barangan lain bagi bulan itu. Simpan lebihan wang di dalam akaun berasingan bagi mengelakkan terlebih belanja (over spent).
  3. *Pastikan anda dapat membayar 'minimum payment' apabila tiba masanya. Jika tidak, anda akan dikenakan denda yang bisanya sebanyak RM50 bagi denda lewat bayar.
  4. *Disiplinkan diri untuk menggunakan kad kredit pada waktu-waktu kecemasan sahaja. Penggunaan wang tunai yang terkawal adalah lebih baik darpada kad kredit yang kita akan sedar pengeluarannya.
Semoga dapat meneruskan ibadah puasa dengan jayanya.

Wasalam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...