Sedang leka aku melayari internet, terdengar iklan di IKIM tentang derma organ. Yang menariknya, pendaftaran kini boleh dilakukan secara dalam talian (online). Aku pun pergilah menjenguk laman pendaftaran Pusat Sumber Transplan Negara. Hmmm nampak mesra pengguna.
Aku pun terus mendaftar, memasukkan maklumat-maklumat yang perlu. Pada aku kalau tak derma organ, lambat laun jasad kita akan reput juga dimamah ulat kat dalam kubur tu. Derma darah pun sama juga konsepnya, kalau tak derma, mati terbuang je sel-sel darah kita. Jadi mendermalah selagi termampu, kalau wang ringgit, memang ramai yang cukup pakai je. Tapi organ atau darah, kita semua yang sihat memang sangat mampu untuk menyumbang.
Tentang derma organ ni, aku belum ada pengalaman menyaksikan sesiapa pun kenalan rapat, mahupun saudara mara yang pernah melakukannya. Berbanding derma darah, aku dan beberpa rakan pernah mennyumbang kepada tabung darah.
Kenapa aku amat berkempen untuk menderma (darah / organ)? Kerana sumbangan kita yang sedikit, mungkin mampu membawa kegembiraan kepada orang lain. Dalam situasi yang lebih kronik, satu nyawa mungkin dapat diselamat.
Isteri aku sendiri pernah mengalami situasi memerlukan bekalan darah A- ketika melahirkan Ahmad IQbal. Ketika itu, stok tabung darah di Hospital Muar kehabisan bekalan darah A negative. Mereka terpaksa menunggu bekalan daripada hospital Segamat. Sepatutnya mereka dah besedia lebih awal, tapi gara-gara isteriku sebelumnya dikategorikan mempunyai darah A +. Tapi pada saat akhir darahnya dikenalpasti sebagai A-.
Beberapa kenalan menyarankan aku menyaman hospital kerana kecuaian mengkategorikan jenis darah. Tapi aku mengambil jalan tengah mengabaikannya kerana tiada kejadian buruk berlaku. Memafkan, pada aku lebih mulia. Juga mempermudahkan perjalanan setiap hamba Allah di atas muka bumi ini.
Maaf aku bercerita tentang derma darah, bukannya menderma organ. Sorry ye, takde pengalaman.
Apa-apa pun, derma organ telah dipersetujui oleh majlis fatwa dan ulama kebangsaan. Jadi jangan ragu-ragu untuk mewasiatkan organ-organ jantung, buah pinggang, mahupun biji mata kita.
Akhir sekali, aku kongsikan dari sudut perspektif agama:
Perspektif Islam terhadap Pemindahan dan Pendermaan Organ
Pemindahan organ adalah satu kaedah rawatan yang tidak disebut secara spesifik di dalam al-Quran mahupun Sunnah Rasulullah s.a.w. kerana kaedah ini merupakan satu perkembangan baru dalam dunia perubatan. Satu daripada maqassid al-syariah (matlamat syariah) adalah untuk memelihara nyawa. Prinsip-prinsip syariah yang digunakan untuk mengeluarkan fatwa mengenai kaedah pemindahan organ ini termasuklah keperluan mengatasi larangan, memilih jalan yang paling kurang mudarat dan mudarat perlu dirawat dengan berikhtiar. Di Malaysia, fatwa mengenai keharusan pendermaan dan pemindahan organ telah dikeluarkan semenjak bulan Jun 1970 lagi.
Dari perspektif Islam, pemindahan organ diharuskan dengan syarat tidak ada alternatif lain yang boleh menyelamatkan nyawa pesakit. Di samping itu, kaedah rawatan ini juga diharuskan sekiranya tidak mendatangkan mudarat yang lebih besar kepada penerima organ atau penderma organ (sekiranya penderma masih hidup). Islam juga mensyaratkan pendermaan organ dilakukan secara ikhlas dengan niat untuk membantu orang lain semata-mata kerana Allah s.w.t. dan bukannya bagi tujuan untuk mendapatkan ganjaran, habuan, populariti atau glamor. Organ dan tisu juga tidak boleh diperniagakan kerana Islam melihat jual beli organ dan tisu sebagai suatu perkara yang haram. Pendermaan organ juga perlu mendapat izin dan persetujuan penderma, yakni pendermaan organ tidak boleh dilakukan kerana dipaksa.
Fatwa-fatwa di Malaysia Berkaitan Pendermaan Organ
- 1965 Fatwa negeri Perlis mengharuskan pemindahan kornea daripada orang yang telah meninggal dunia
- 1970 Majlis Fatwa Kebangsaan mengharuskan pendermaan organ daripada penderma kadaverik kepada penderma hidup
- 1989 Majlis Fatwa Kebangsaan menerima diagnosis mati otak sebagai diagnosis untuk kematian
- 1995 Majlis Fatwa Kebangsaan mengharuskan penggunaan graf tisu untuk merawat pesakit
- 1997 Fatwa negeri Sarawak mengharuskan pemindahan ginjal daripada penderma hidup dan penderma yang telah meninggal dunia