Metamfetamin (kokain orang miskin) buat penagih gila


image credit 



Metamfetamin buat penagih gila Oleh Shafinaz Sheikh Maznan


LEFTENAN Chuck Middleton dari pejabat Sherif Highland County, Ohio, mungkin antara individu yang paling kerap menyaksikan tragedi dadah jenis metamfetamin, berbanding lain-lain penduduk setempat.

Memetik kenyataannya yang disiarkan di dalam laman web stopmethaddiction.com yang menentang keras penggunaan dadah perangsang dari jenis amfetamin (ATS) itu:

``Saya sudah banyak melihat pelbagai jenis dadah yang datang dan pergi begitu sahaja.

``Tetapi saya tidak pernah berharap untuk melihat dadah ini. Malah, saya berharap ia tidak pernah dicipta pun.

``Anda tidak akan mempercayainya. Ia bukan sahaja sungguh menakutkan bahkan semakin menggila dari hari ke hari,'' katanya.

Sehingga April tahun lalu, pejabat sherif berkenaan telah menyiasat sebanyak 36 makmal pembuatan metamfetamin jalanan yang dihasilkan secara haram oleh `ahli kimia tidak bertauliah', sejak ia pertama kali ditemui pada Oktober 2000.

``Saya pernah melihat bagaimana seorang remaja perempuan menarik lidahnya sehingga darahnya mengalir ke dagu.

``Dia tidak menyedarinya dan apabila saya memberitahunya, dia berhenti tetapi mula beralih kepada telinganya pula,'' tambah Middleton yang betul-betul bingung dengan kejadian itu.

Metamfetamin atau nama ringkasnya meth merupakan sejenis dadah perangsang yang berupaya mengaktifkan sistem tertentu otak lantas menyebabkan ketagihan kuat pada seseorang.

Di Malaysia, ia mula digunakan secara berleluasa kira-kira dua tiga tahun yang lalu berikutan kesukaran mendapatkan bekalan heroin.

Metamfetamin terkenal di kalangan para penagih baru yang menganggap dadah berbentuk kristal dan tidak berbau atau berwarna itu `selamat', tanpa sebarang kesan ketagihan.

Pakar Runding Perubatan Ketagihan, Pusat Rawatan Pakar, Dr. Mahmud Mazlan mempunyai butiran lanjut mengenai dadah yang dikenali sebagai shabu oleh masyarakat tempatan ini.

image credit


``Metamfetamin turut dikenali sebagai ice, ice baby, the devil's drug (dadah syaitan), poor man's coccaine (kokain orang miskin), chalk, crank, fire, glass, speed, kristal atau ya ba.

``Bukan kepelbagaian namanya yang memberikan masalah besar kepada pihak penguat kuasa.

``Tetapi penghasilannya yang begitu mudah iaitu dengan cara memasak bahan-bahan yang tersedia di kaunter seperti ubat demam, menggunakan perkakasan dapur biasa,'' katanya.

Tidak hairanlah, metamfetamin meraih populariti segera berbanding kokain yang perlu dibeli daripada penanam dan diimport dari luar negara.

Kesannya pula berpanjangan sehingga setengah hari dan lebih mengkhayalkan di sebalik harganya yang murah, tetapi dalam masa yang sama amat membahayakan.

Di Asia, pusat pembuatannya terletak di kawasan segi tiga emas yang terdiri daripada sempadan Thailand, Myanmar dan Laos.

Laporan BBC News yang memetik kenyataan Jabatan Negeri Amerika Syarikat menyifatkan Thailand sebagai negara penyalahgunaan ATS termasuk metamfetamin, yang paling teruk di dunia.

Mengikut sejarahnya, metamfetamin dicipta oleh Nazi bagi membolehkan angkatan tentera mereka tidak tidur selama beberapa hari, semasa Perang Dunia Kedua.

Pemimpin Nazi, Adolf Hitler sendiri dikatakan menyuntik dirinya setiap hari dengan bahan berkenaan untuk meraih faedah yang sama.

Menurut Dr. Mahmud, metamfetamin merembeskan neurotransmiter dopamin iaitu sejenis bahan kimia yang merangsang sel-sel otak, sekali gus melimpahi pengguna dengan perasaan yang begitu menyeronokkan.

``Ia juga mempunyai kesan neurotoksik yang memusnahkan sel-sel otak yang turut mengandungi serotonin, sejenis neurotransmiter lain.

``Lama-kelamaan, metamfetamin akan menyebabkan paras dopamin yang terus berkurangan dan menyebabkan penagih mengalami gangguan pergerakan yang teruk seperti gejala penyakit Parkinson,'' katanya.

Beliau berkata, pengambilan metamfetamin sekalipun dalam dos yang kecil akan menyebabkan ketagihan dengan mudah walaupun setelah kali pertama mencubanya.

Ini kerana, sebagai perangsang yang berkuasa, metamfetamin meninggalkan kesan yang cukup kuat ke atas saraf otak.

Kesan penggunaan metamfetamin

* Meningkatkan masa berjaga, aktiviti fizikal dan pernafasan

* Mengurangkan selera makan seseorang (digunakan dalam rawatan obesiti)

* Hipertermia (suhu badan terlalu tinggi) dan konvulsi (pengecutan tidak sengaja otot-otot yang menghasilkan peliukan tubuh serta anggota) yang mana kedua-duanya boleh menyebabkan maut

* Tremor (gerakan berirama dan berselang-seli pada sebarang bahagian tubuh)

* Paranoia (takut tidak bertempat).

Sejurus selepas menghisap atau menyuntiknya, pengguna akan mengalami sejenis keasyikan atau sensasi memuncak yang dipanggil rush atau flash, selama beberapa minit.

Pengambilannya melalui mulut (telan) atau hidung (sedut) akan menghasilkan kesan khayalan yang berpanjangan sehingga setengah hari.

Dr. Mahmud berkata, metamfetamin juga boleh menimbulkan keghairahan seksual atau mendorong nafsu yang kuat, menjadikan penggunanya seorang perogol termasuklah memperkosa kanak-kanak.

``Ia juga menyebabkan seseorang itu sangat berani dan sanggup melakukan jenayah seperti rompakan mahupun pembunuhan tanpa sedikit pun rasa simpati kepada mangsa.

``Keadaan ini berbeza daripada penagih heroin yang hanya akan terlibat dengan jenayah apabila memerlukan wang untuk membeli dadah,'' katanya.

Penagih heroin akan melakukan kecurian kecil-kecilan dan jenayah yang tidak memerlukan mereka bersemuka dengan orang lain.

Mereka juga tidak akan bertindak ganas kecuali ketika berada di dalam keadaan tarikan (withdrawal) yang teruk.

``Penagih metamfetamin bukan sahaja melakukan kegiatan jenayah untuk mendapatkan wang tetapi juga menjadi lebih agresif dan tidak berhati perut berbanding bukan penagih dadah jenis itu.

``Mereka tidak akan teragak-agak untuk melakukan serangan fizikal, rogol dan membunuh mangsanya,'' katanya.

Tambah Dr. Mahmud, keracunan itu akan menyebabkan penagih menjadi `kebal' dan tidak takut langsung kepada pihak berkuasa atau ditangkap oleh polis.

Mereka akan melawan jika dikepung dan tidak rasa bimbang dengan kemungkinan tercedera mahupun terbunuh.

Katanya lagi, pengguna metamfetamin kronik mempercayai bahawa ada orang yang sentiasa memerhatikannya dan mahu mencederakan atau membunuhnya.

Terdapat beberapa kes di mana penagih bertindak balas terhadap kepercayaan itu dan akibatnya, membunuh saudara-mara mereka sendiri.

Mengenai kesan jangka panjang penggunaan metamfetamin, kata Dr. Mahmud, ia akan menyebabkan ketagihan yang kronik, ditandai dengan pengambilan dadah kompulsif (terpaksa).

Akibatnya, penagih akan mengalami penyakit yang berulang-ulang disertai dengan perubahan fungsi dan molekular di dalam otak.

Penagih metamfetamin kronik juga akan mempamerkan gejala-gejala seperti tingkah laku yang ganas, insomnia serta kecelaruan mental seperti kebimbangan dan kekeliruan.

``Mereka juga boleh menunjukkan ciri-ciri psikotik (kurang siuman), antaranya, halusinasi pendengaran, gangguan mood dan delusi.

``Gejalanya boleh muncul di antara beberapa bulan atau bertahun-tahun selepas penggunaannya dihentikan,'' katanya.

Penagih, misalnya merasakan seolah-olah ada serangga yang menjalar di atas atau dalam kulit mereka yang dikenali sebagai formication.

Justeru, mereka akan menggaru atau menoreh diri sendiri dalam usaha untuk mengeluarkannya.

Kata Dr. Mahmud, bagi menambah kesan yang diingini, pengguna akan mengambil dos dadah yang lebih tinggi, secara lebih kerap atau mengubah cara pengambilannya.

Dalam sesetengah kes, penagih tidak akan makan dan tidur apabila terjebak di dalam perbuatan mengikut hawa nafsu yang dipanggil run.

Mereka akan menyuntik sebanyak mungkin dadah sehingga satu gram setiap dua hingga tiga jam, dalam tempoh beberapa hari sehingga kehabisan dadah atau penagih sudah tiada daya upaya lagi.

Komplikasi kesihatan

* Pelbagai masalah kardiovaskular seperti degupan jantung yang kencang dan tidak teratur.

Tekanan darah penagih juga meningkat dan tidak dapat diubah lagi manakala serangan angin ahmar memusnahkan pembuluh darah kecil di dalam otak.

* Metamfetamin kronik menyebabkan radang hati, kerosakan pembuluh darah dan kulit yang bengkak dan bernanah.

* Keracunan plumbum akut. Salah satu cara pembikinan metamfetamin ialah menggunakan plumbum asetat sebagai bahan uji.

Kesilapan semasa proses penghasilannya boleh menyebabkan pencemaran metamfetamin.

* Janin yang terdedah kepada penyalahgunaan metamfetamin juga akan menyebabkan komplikasi prenatal, kelahiran pramatang, kecacatan kongenital dan mengubah corak tingkah laku neonatal seperti iritabiliti melampau dan refleks abnormal.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...