Showing posts with label tauladan. Show all posts
Showing posts with label tauladan. Show all posts

Kisah pemandu grabcar

Semoga perkongsian kisah pemandu grabcar ini memberikan manfaat buat kita semua.

Kisah pemandu GRAB

Sudah beberapa bulan saya tidak menjadi pemandu GRAB. Tuntutan tanggungjawap yang lain membuatkan saya terpaksa “hold” dahulu kerja “parttime” ini. Namun baru-baru ini ketika saya memulakan tugas, saya menerima request dari seorang penumpang yang ingin ke KLIA.
Saya terus menuju ke lokasi penumpang itu menunggu. Ketika saya tiba, saya terlihat seorang wanita yang saya kira dalam lewat 50 tahun berdiri dengan sebuah luggage. Apabila saya memberhentikan kereta, terus saya membantu beliau menyimpan luggage tersebut kedalam kereta.
Saya meneruskan perjalanan. Suasana agak sepi seketika. Sehinggalah saya memberanikan diri bertanya beliau.

“Puan seorang aje? Nak bercuti kemana?”

“Ohhh.. saya pergi dengan kawan-kawan. Masing-masing jumpa di airport. Kami buat trip tour Europe. Geng orang-orang pencen”, balas beliau.

Saya hanya menganggukkan sahaja jawapan beliau. Sepanjang perjalanan beliau rancak bersembang. Dalam hati, puan ini mesti mempunyai kerjaya yang hebat kerana terlalu banyak isu yang beliau ketengahkan sehinggalah ada satu perkara yang membuat saya terasa sebak…

Kisahnya begini…

Suami pergi meninggalkan saya kira-kira 8 tahun yang lepas. Masa tu kami masih belum bersara. Ada lebih kurang beberapa tahun lagi untuk bersara. Impian kami berdua, seandainya sudah bersara kami bercadang untuk mengelilingi dunia menghabiskan sisa hari tua ketika masih Allah kurniakan badan yang sihat. Tapi kita hanya merancang, namun perancangan Allah lebih baik lagi. Suami pergi dahulu meninggalkan saya dan anak-anak.

Dipenghujung usia ini, apa yang saya akui bahawa saat membesarkan anak-anak itu sangat singkat. Jika dahulu saya dan arwah suami bertungkus lumus mencari rezeki, bersusah payah membesarkan anak-anak. Rumah walaupun ketika itu hanya mampu membeli rumah yang bersaiz kecil namun dipenuhi dengan gelak tawa, tangis, jeritan, gaduh, lucu, gurau senda dan macam-macam lagi. Buku, pensel, baju berterabur di lantai bilik. Bedak, sikat entah ke penjuru mana. Kain selimut, bantal berteraburan dibawah katil atau meja.
Boleh dikatakan hari-hari saya akan menjerit menyuruh diam, kemas buku-buku dan masukkan pakaian kotor ke dalam bakul kain kotor. Penat. Yer.. Memang memenatkan.
Dan apabila waktu pagi, terkocoh-kocoh menyiapkan sarapan, kelengkapan anak kecil ke taska, yang besar pula bertanya, “mak.. pensil tak ade”. Seorang lagi menjerit, “mak.. sikat, bedak mana?” dan seorang lagi menjerit anak tudung dan stokin hilang! Dalam pada saya membebel itu dan ini, tetap juga mencari dan menyediakan apa yang anak-anak pintakan.

Masa berlalu sangat pantas. Anak-anak yang kecil kini semuanya sudah meningkat dewasa. Malah ada yang sudah merantau meninggalkan kami. Apabila saya buka pintu bilik anak-anak yang ada hanyalah katil yang kosong. Buka almari baju. Yang tinggal beberapa helai baju.

Apa yang tinggal hanyalah kesan kenangan dan bau anak-anak pada bantal, tilam dan persekitaran. Yer! Setiap anak itu mempunyai bau “istimewa” hanya seorang emak sahaja yang tau. Saya akan hidu udara bilik itu sedalam-dalamnya untuk menghilangkan rindu pada anak-anak. Memori gelak tawa tangis anak-anak dan kehangatan badan anak-anak bila dipeluk.

Kini rumah saya bersih. Kemas. Teratur. Tapi saya rasakan ia bukan sesuatu yang indah kerana buka dan tutup pintu pun sendirian. Kalau dulu sayalah yang sentiasa jerit menyuruh anak-anak menutup pintu dan tingkap. Anak-anak saya sudah mempunyai kehidupan sendiri. Saya juga kini sendiri kerana teman yang saya harapkan menjadi teman telah pergi dahulu meninggalkan saya. Walau apa pun saya sentiasa mendoakan agar anak-anak sentiasa dalam peliharaan Allah.

Sepanjang beliau bercerita saya lihat dari cermin pandang belakang, beliau bercerita dengan tenang dan penuh senyuman. Tidak mampu saya berkata apa-apa hanya anggukkan sahaja. Kerana setiap bait-bait ayatnya sangat meruntum jiwa. Membuat saya sedar bahawa betapa banyaknya diri ini merungut-rungut dengan situasi ketika bersusah payah membesarkan anak-anak.

Apa yang boleh saya simpulkan dari cerita beliau bahawa nikmatilah waktu yang sedang kita lalui kini dengan berlapang dada tanpa rungutan dan keluahan terutama ketika berpenat lelah membesarkan anak-anak. Kerana suatu hari nanti ianya akan menjadi sejarah dan membuatkan kita rindu tatkala bersendirian meniti usia tua.

Kepada anak-anak yang masih mempunyai emak & ayah jangan lupa! Sentiasa hubungi mereka. Dan paling utama sentiasa mendoakan kesejahteraan untuk mereka. Mungkin kita tidak ditakdirkan menjadi anak yang berpeluang menjaga mereka dipenghujung usia tapi jadilah anak-anak yang menyejuk dimata, penawar dijiwa buat mereka.
Saya doakan yang terbaik buat semua. Hidup dalam positif penuh keceriaan.

Perongsian whatsapp

3 perkara dibuat Iskandar Zulkarnain sebelum kematiannya

 kredit image suaramerdeka.com


Sebelum kematiannya, Iskandar Zulkarnain mengarahkan jeneralnya melakukan 3 perkara berikut:

Pertama - Keranda mayatnya diusung oleh doktor-doktor pakar terhebat.
Kedua - Semua hartanya (duit, emas, batu permata) ditebarkan disepanjang jalan menuju tapak perkuburan.
Ketiganya - Tangannya dibiarkan supaya terkulai dan terkeluar dari kerandanya. 

Ditanya oleh salah seorang Jeneralnya, Iskandar Zulkarnain menjelaskan begini:
1. Aku mahu doktor-doktor terbaik mengusung keranda aku kerana aku mahu mengingatkan manusia bahawa disaat kematian, setinggi mana kepakaran doktor, dia tetap tidak akan boleh menghalang kematian.
2. Aku mahu jalan menuju ke kuburku dipenuhi dengan harta kekayaan aku supaya semua orang akan memahami segala harta kekayaan sudah tidak berguna dan tidak boleh dibawa mati.  Ia tetap akan terus berada di dunia.
3. Aku mahu tangan aku terlepas bebas supaya ia mengingatkan yang kita datang ke dunia dengan tangan kosong dan akan pergi juga dengan tangan kosong setelah sumber termahal kita hilang, iaitu MASA. 

Kesimpulannya:
Tak kiralah betapa hebatnya kamu semasa hidupmu takkan mungkin kamu dapat menyelamatkan dirimu dari mati. Pada masa itu terputuslah segala2nya kecuali amal jariah dan warisan2 kebaikan yang kamu telah wakafkan kepada masyarakat dan keluarga kamu.

KEBAHAGIAAN HIDUP...
Pada saat kita memakai jam tangan berharga RM500 atau RM50, kedua jam itu menunjukkan waktu yg sama.
Ketika kita membawa beg atau dompet berharga RM500 atau RM50, keduanya sama dapat membantumu membawa sebahagian barang/wang.
Ketika kita tinggal di rumah seluas 50m2 atau 5.000m2, kesepian yg kita alami tetaplah sama. 

Ketika kita terbang dengan "first class" atau "economy class", kita akan mendarat di waktu dan tempat yg sama.

Kebahagiaan sejati bukan datang dari harta duniawi. 

Jadi ketika kita memiliki pasangan, anak, saudara, teman dekat, teman baru dan lama... lalu kita berbual, bergurau, tertawa, bernyanyi, bercerita tentang berbagai hal, berbagi suka dan duka... itulah kebahagiaan sesungguhnya. 

Hal penting yang patut direnungkan dalam hidup:
1. Jangan mendidik anakmu untuk obses menjadi kaya. Didiklah mereka menjadi bahagia. Apabila mereka dewasa kelak, mereka akan menilai segala sesuatu bukan dari harganya.
2. Kata2 yg terbaik: "Makan makananmu sebagai ubat. Jika tidak, kamu akan makan ubat2an sebagai
makanan."
3. Seseorang yg mencintaimu tidak akan pernah meninggalkanmu kerana walaupun ada 100 alasan untuk menyerah, dia akan menemukan 1 alasan untuk bertahan.
4. Banyak sekali perbezaan antara "manusia & menjadi manusia". Hanya orang bijak yg mengerti tentang itu.
5. Hidup itu antara "B" birth (lahir) dan "D" death (mati). Di antaranya adalah ada "C" choice (pilihan) hidup yang kita jalani. Keberhasilannya ditentukan oleh setiap pilihan kita. 
Jika kamu mau berjalan cepat, jalanlah sendirian. Tetapi, jika kamu ingin berjalan jauh, jalanlah bersama sama.
6. Ada 6 doktor terbaik:
a. Keluarga.
b. Santai/rehat.
c. Bersenam.
d. Makanan yg sihat.
e. Sahabat/kawan.
f. Ketawa.
Pelihara semua itu dalam semua aspek kehidupan & nikmatilah...
Wallahua'lam.

Alamak ... AKIBAT TIDAK BACA BISMILLAH

SUATU KISAH:
'AKIBAT TIDAK BACA BISMILLAH'

Benarlah sebagaimana Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

”Tiap-tiap pekerjaan atau amal yang tidak dimulai dengan bacaan bismillahirrahmanirrahim, maka terputuslah (kurang berkat)”

DICERITAKAN OLEH SEORANG PEMBACA (TOK DAHAMAN) YANG TINGGAL DI KG SIDAM, KEDAH KEPADA 'MAJALAH IKTIBAR.'

.

Menurut apa yang diceritakan oleh Tok Dahaman, suatu hari katanya, dia bersama isterinya berjalan hendak ke kenduri kahwin di hujung kampung. Malangnya, ketika itu hujan turun dengan lebatnya. Maka terpaksalah mereka menunggu hujan berhenti. Apabila hujan reda, ketika itu jam menunjukkan pukul 1.00 tengahari, tiba di suatu simpang jalan, mereka terdengar suara tangisan kanak-kanak.
Setelah dilihat sekeliling, didapati 3 orang kanak-kanak tanpa pakaian menangis di tepi sebatang pokok besar yang telah tumbang. Kata Tok Dahaman, dia sungguh hairan, siapa pula yang meninggalkan anak dalam keadaan begitu? Tetapi, dia mula syak bahawa budak-budak tiu bukanlah manusia biasa kerana didapatinya mereka berkepala botak, berperut buncit, mata besar dan telinganya pula capang dan tajam. Sementara itu, jari-jari tangannya amat panjang begitu juga jari kaki. Walau bagaimanapun, Tok Dahaman bertanya juga apa sebab mereka menangis di tepi jalan. Menurut salah seorang daripada budak budak itu, rumah mereka telah runtuh disebabkan oleh hujan yang amat lebat sebentar tadi. Tok Dahaman bertanya di mana rumah...? Mereka pun menunjukkan kepada pokok besar yang tumbang itu. Sudah sahlah yang budak-budak itu adalah anak jin atau syaitan, jelas Tok Dahaman.

Menurut Tok Dahaman, anak-anak syaitan itu telah meminta dia untuk memberitahu kepada ibu bapa mereka yang berada di rumah kenduri tentang perihal rumah mereka yang telah runtuh itu. Akan tetapi, Tok Dahaman menjelaskan kepada budak-budak itu bahawa dia tidak mungkin dapat mencari ibu bapa mereka kerana syaitan tidak dapat dilihat oleh manusia dengan pandangan mata kasar. Lantas, anak syaitan itu memberi sedikit minyak untuk disapu di kening. Menurut anak syaitan itu lagi, minyak itu membolehkan pandangan terhadap benda-benda hijab dibuka. Ayah syaitan tersebut dapat dikenalpasti kerana dia menggantung tengkorak kecil di leher manakala ibu mereka memakai tulang ayam bersilang di rambutnya. Anak syaitan tersebut berpesan meminta ibu bapa mereka pulang dengan segera kerana rumah mereka runtuh dan mereka di dalam kesejukan.

Cerita Tok Dahaman lagi, ketika sampai di rumah kenduri, dia dan isterinya pun memakai minyak tersebut. Tok Dahaman kemudian menyuruh isterinya mencari syaitan betina di atas rumah sedang dia sendiri mencari syaitan jantan di tempat orang lelaki. Sebaik sahaja minyak tersebut di sapu di kening, mereka lihat begitu banyak syaitan bercampur gaul denfan orang ramai. Ada sebahagiannya sibuk di tempat memasak, mengganggu di kawah gulai dengan memasukkan berbagai jenis najis ke dalam segala masakan (kerana orang yang memasak tidak membaca Bismillah...). Syaitan-syaitan tersebut ada yg meludah, membuang air kecil dan besar ke dalam piring dan mangkuk. Ada juga yang muntah ke dalam makanan, ada yang bergayut di bahu, duduk di kepala dan riba manusia.

Tok Dahaman dan isterinya yang memandang suasana itu menjadi tidak tergamak untuk makan. Orang ramai pada hari itu menjadi hairan melihat kelakuan Tok Dahaman pada hari itu. Menurut Tok Dahaman dia amat sukar untuk berjalan kerana terpaksa mengelak daripada berlanggar dengan syaitan kerana syaitan lebih sibuk mengalahkan manusia di rumah kenduri. Setelah sibuk mencari, akhirnya jumpalah dia dengan bapa syaitan tersebut. Ketika itu, syaitan tersebut sedang makan dengan gelojohnya. Tok Dahaman pun bertempik kepada syaitan tersebut serta memberitahu kepada syaitan tersebut bahawa rumahnya telah runtuh. Syaitan tersebut sangat terperanjat dan bertanya bagaimana Tok Dahaman boleh melihat syaitan. Apabila mendengar penjelasan Tok Dahaman, syaitan tersebut pun berlari pulang sambil memijak kepala orang ramai.

Bagi pihak perempuan pula, keadaan lebih kecoh. Menurut isteri Tok Dahaman, ramai sungguh syaitan betina yang sama-sama makan kenduri dengan orang perempuan bahkan di bahagian perempuan keadaan lebih teruk lagi kerana syaitan betina ada yang membawa anak mereka. Kerenah anak-anak syaitan ini memang tidak dapat dikawal oleh ibu bapa mereka. Mereka melompat dari satu talam ke satu talam sambil mencapai makanan dari pinggan atau tangan orang. Ada yang membuang air kecil sambil bergayut di jendela rumah. Akhirnya ibu syaitan tersebut ditemui oleh isteri Tok Dahaman di bilik pengantin sedang bersolek bersama-sama pengantin perempuan. Isteri Tok Dahaman mengenalinya berdasarkan tulang ayam yang bersilang di rambut yang kotor dan berbau busuk itu. Rupa syaitan betina tersebut sangat menggerunkan. Keadaan mejadi kecoh kerana orang ramai melihat isteri Tok Dahaman bercakap dengan cermin tempat bersolek.

Untuk sehari itu, letih lah mulut mereka menjelaskan kepada orang ramai tentang sebab keanehan sikap mereka pada hari itu, terpulanglah orang mahu percaya atau tidak.

Begitulah halnya, keadaan syaitan yang sungguh menjijikkan jika kita tidak menyebut nama Allah ketika hendak makan. Sebelum makan, sebutlah nama Allah... atau sekurang-kurangnya bacalah BISMILLAH...

AMAL + BISMILLAH = BERKAT (INSYAALLAH)

| Kutipan: 'Jiwa Sufi Fikrah Haraki'

Kisah duit di dalam kasut

Tazkirah malam
~ Secebis Kisah Dari Al-Azhar, Kaherah ~

Seorang guru yang separuh umur berjalan-jalan santai bersama seorang remaja, salah seorang di antara murid-muridnya di sebuah taman.

Di sela-sela waktu terdengar ketawa kecil anak remaja tersebut..

Mereka kelihatan sebagai kawan yg sangat akrab walaupun dgn perbezaan usia yg sangat zahir.
Inilah keistimewaan seorang murabbi yg ikhlas.

Sedang berjalan, mereka terlihat sepasang kasut yang sudah usang dan hampir reput bersama beberapa barangan peribadi tukang kebun yg usang.

Remaja itu melihat gurunya sambil mengusul:

"Bagaimana kalau kita usik tukang kebun ini dengan sembunyikan kasutnya, kemudian kita berlindung di belakang rimbun? Dia datang, pasti terkejut.. Jom kita tengok bagaimana dia terkejut dan cemas! He he”

Guru yang alim dan bijak itu menjawab:

"Anakku, tidak elok kita berseronok dengan mempermainkan orang, apatah lagi pada orang yg susah. Kamu kan seorang yang senang, dan kamu boleh sahaja menambah kebahagiaan untuk orang tu? Sekarang saya cadangkan kamu masukkan beberapa keping duit kertas ke dalam kasutnya, kemudian saksikan bagaimana respon tukang kebun tu?"

Pemuda itu terpegun dengan usulan gurunya, bersetuju dan segera berjalan utk memasukkan wang ke dalam kasut tersebut.

Kemudian mereka bersembunyi di belakang rimbunan pepohon..

Selang beberapa waktu, datanglah seorang lelaki dalam lingkungan 40 an, bajunya basah dgn peluh, sambil mengibas-ngibaskan kotoran dari pakaiannya. Dia berjalan menuju tempat barangan yang tinggalkan.

Beliau memasukkan kakinya ke dalam kasut, merasai sesuatu di dalamnya. Dia cuba keluarkan, bila dilihatnya benda asing itu adalah wang kertas, mukanya berubah, dia terpegun.
Ada beberapa keping dalamnya!!

Dia memeriksa sebelah lagi, mukanya hampir2 pucat melihat wang yg lebih banyak!!!

Dia menatap wang itu berulang-ulang, seolah-olah tidak percaya dengan matanya.

Dia melihat ke segala penjuru, seolah-olah mencari orang disekitarnya.. mungkin nak bertanyakan sesuatu..

Beliau mendapati dirinya kesaorangan!!

Dengan segera ia memasukkan wang itu ke dalam sakunya dan terus berlutut sambil melihat ke langit dan menangis. Dia berteriak dengan suara tinggi, seolah-olah berbicara dengan Allah Ar Razzaq (Pemberi Rezeki)

“Aku bersyukur kepada-Mu, Ya Allah, Tuhanku.

Wahai Yang Maha Tahu, isteriku sakit dan anak-anakku kelaparan. Mereka belum menjamah apa2 pun hari ini.

Engkau telah menyelamatkanku, anak-anak dan isteri dari kecelakaan ini ya Allah".

Dia terus menangis dalam waktu cukup lama sambil memandang ke
langit sebagai ungkapan rasa syukurnya atas kurnia dari
Allah Yang Maha Pemurah.

Murid tadi, sangat terharu dengan apa yang dilihat. Air matanya meleleh tanpa dapat dibendung.

Guru yang bijak terus bersuara:

“Bukankah sekarang kamu rasa lebih bahagia
dari mengusik orang lain dan lucu melihat orang yg kehilangan barangan?”

Pemuda itu segera menjawab,

“Harini aku mendapat pelajaran yang tidak akan mungkin aku lupakan seumur hidupku. Sekarang aku baru faham makna kalimah yang dulu belum aku fahami sepanjang hidupku:

“Ketika kamu memberi, kamu akan mendapatkan kebahagiaan yang lebih banyak dari pada kamu mengambil”.

Gurunya melanjutkan

"Sekarang ketahuilah bahawa pemberian itu bermacam-macam:

• Memaafkan kesalahan orang di saat kita mampu membalas
dendam, adalah suatu pemberian.

• Mendo’akan teman dan saudaramu di belakangnya (tanpa pengetahuannya) adalah suatu pemberian.

• Berusaha utk berbaik sangka dan menghilangkan sangka buruk darinya juga satu pemberian.

• Menahan diri dari membicarakan aib saudaramu di belakangnya, adalah satu pemberian lagi.

*Ini semua adalah pemberian dari Allah, supaya kesempatan memberi tidak hanya dibuat oleh orang-orang berada sahaja.
Jadikanlah semua ini pelajaran, wahai sahabatku!

Semoga bermanfa'at

Kredit gambar ... https://thegratefulrunner.com/2016/01/05/saying-thank-you-for-shoe-surprises/

Kisah raja 4 isteri

Cerita orang bini empat...

RAJA DAN 4 ISTERINYA

ملك كان متزوج 4 زوجات
Seorang raja memiliki 4 orang isteri.

كان يحب الرابعة حبا جنونيا
ويعمل كل ما في وسعه لإرضائها .
Raja sangat mencintai isteri yang ke-4, cinta yang tergila-gila. Bahkan dia terus berupaya mendapatkan redhanya.

🎐
أما الثالثة فكان يحبها أيضا ولكنه يشعر أنها قد تتركه من أجل شخص آخر .
Adapun isteri yang ketiga, juga sangat dicintainya. Tapi dia berasa isteri ini berpotensi meninggalkannya dan bernikah dengan lelaki lain.
🎐
الثانيه كانت هي من يلجأ إليها عند الشدائد وكانت دائما تستمع إليه وتتواجد عند الضيق .
Adapun isteri yang kedua, adalah tumpuannya selama ini dalam susah dan duka. Dialah yg selalu memperhatikan suaminya dan berada disampingnya di kala sempit.
🎐
أما الزوجة الأولى فكان يهملها ولا يرعاها ولا يؤتيها حقها مع أنها كانت تحبه كثيرا وكان لها دور كبير في الحفاظ على مملكته .
Adapun isteri pertama, sering diabaikannya, tidak dirawatnya dan tidak ditunaikan hak-haknya. Padahal dialah isteri yang paling mencintainya, dan berperanan penting dalam menjaga kerajaannya.
🎐
مرض الملك وشعر باقتراب أجله ففكر وقال :
أنا الآن لدي 4 زوجات ولا أريد أن أذهب إلى القبر وحيداً .
Suatu hari raja jatuh sakit dan berasa ajalnya sudah dekat. Dia merenung dan berkata kepada dirinya: Aku punya 4 isteri. Aku tidak mahu sendirian masuk kubur.
🎐
فسأل زوجته الرابعه :
أحببتك أكثر من باقي زوجاتي ،
ولبيت كل رغباتك وطلباتك ،
فهل ترضين أن تأتي معي لتؤنسيني
في قبري ❔
فقالت : ( مستحيل )
وانصرفت فورا بدون إبداء أي تعاطف
مع الملك ❕
Maka dia bertanya kepada isteri yang ke 4: Engkaulah isteri yang paling aku cintai daripada semua isteri-isteriku. Dan aku penuhi semua keinginan dan permintaanmu. Sekarang, mahukah kamu menemani aku di kubur dan menghiburkanku?
Isteri ke 4 menjawab: Mustahil aku lakuan itu.
Dia pun berlalu meninggalkan suaminya dan tidak mempedulikannya.
🎐
فأحضر زوجته الثالثه :
وقال لها : أحببتك طيلة حياتي فهل ترافقيني في قبري ❔
فقالت : ( بالطبع لا )
الحياة جميلة وعند موتك سأذهب وأتزوج من غيرك ❕
Dipanggilnyalah isteri ke 3: "Aku mencintaimu sepenuh hidupku. Mahukah kamu menemaniku di kuburku?"
Isteri ke 3 menjawab: "O pastilah aku tidak mahu. Kehidupan sepeninggalmu terlalu indah. Aku akan kahwin dengan lelaki lain...."
🎐
فأحضرالزوجة الثانيه :
وقال لها : كنت دائما ألجأ إليك عند الضيق وطالما ضحيت من أجلي وساعدتيني ،
فـهل ترافقيني في قبري ❔
فقالت : سامحني لا أستطيع تلبية طلبك ،
ولكن أكثر ما أستطيع فعله هو ،
أن أوصلك إلى قبرك ❕
Lalu dia panggil isteri ke 2: Aku dulu selalu bersandar kepadamu di kala susah. Dan engkau selalu berkorban utukku. Mahukah kamu menemaniku di kuburku?
Isteri ke 2 menjawab: "Maafkan aku, aku tidak boleh menemanimu. Tetapi aku akan menghantarmu sampai ke liang kuburmu.."
🎐
حزن الملك حزنا شديدا ،
على جحود هؤلاء الزوجات .
Raja sangat sedih sekali, kerana semua isterinya telah durhaka kepadanya...
🎐
وإذا بصوت يأتي من بعيد ويقول :
Tiba-tiba ada suara dari jauh, berkata:
أنا أرافقك في قبرك ❕
أنا سأكون معك أينما تذهب ❕
"Aku akan menemanimu di kuburmu... aku akan selalu bersamamu ke manapun kau pergi....!"
🎐
فـنظر الملك ، فـإذا بزوجته الأولى ،
وهي في حالة هزيله ضعيفه مريضه ،
بسبب إهمال زوجها لها ،
فـندم الملك على سوء رعايته لها ،
في حياته .
Raja menengok ke arah suara itu, rupanya isterinya yang pertama, keadaannya sangat kurus, lemah dan sakit, kerana telah disia-siakannya. Maka raja pun menyesal atas buruknya perhatiannya kepada isteri pertama selama hidupnya.

وقال :
كان ينبغي لي أن أعتني بك أكثر من الباقين
ولو عاد بي الزمان لكنت أنت أكثر من أهتم به من زوجاتي الأربعه .
Suami berkata: "Seharusnya aku lebih memperhatikanmu berbanding yang lain. Kalau waktu boleh kembali, nescaya engkaulah yang paling aku perhatikan daripada seluruh isteriku.

🎐
{ في الحقيقه أحبائي الكرام }

كلنا لدينا 4 زوجات ؛
Sebenarnya wahai saudara tercinta, semua kita mempunyai 4 isteri.
🎐
{ الرابعه }
الجسد :
مهما اعتنينا بأجسادنا وأشبعنا شهواتنا ،
فستتركنا الأجساد فورا عند الموت .
Yang ke 4 itu adalah jasad kita. Betapapun kita memperhatikannya, menurutkan syahwatnya, ia akan segera meninggalkan kita begitu mati.
🎐
{ الثالثه }
الأموال والممتلكات :
عند موتنا ستتركنا وتذهب لأشخاص آخرين .
Yang ke 3 adalah harta dan aset kita. Ketika kita mati ia akan pergi berpindah tangan kepada pemilik yang lain.
🎐
{ الثانيه }
الأهل والأصدقاء :
مهما بلغت تضحياتهم لنا في حياتنا ،
فلا نتوقع منهم أكثر من إيصالنا للقبور ،
عند موتنا .
Yang ke 2 adalah keluarga dan teman-teman, betapapun pengorbanannya kepada kita selama hidup, maka saat mati takkan lebih pengorbanannya daripada menghantarkan ke kuburan.
🎐

{ الأولى }
العمل الصالح :
ننشغل عن تغذيته والاعتناء به ،
على حساب شهواتنا وأموالنا وأصدقائنا ?
مع أن اعمالنا هي الوحيدة التي ستكون معنا في قبورنا .
Yang pertama adalah amal soleh. Kita terlanjur sibuk dan lalai daripada memberinya makanan dan perhatian, demi memenuhi syahwat, harta, dan teman-teman kita. Padahal amalan kitalah satu-satunya yang akan bersama kita dalam kubur.
🎐
يا ترى إذا تمثل عملك لك اليوم
على هيئة إنسان ........
كيف سيكون شكله وهيئته ؟؟؟...
هزيل ضعيف مهمل ؟
أم قوي مدرب معتنى به ؟
Kira-kira, seandainya amalanmu hari ini tampil di hadapanmu dalam bentuk manusia, bagaimanakah kira-kira bentuknya? Kurus, lemah dan terlantar? Ataukah kuat, cergas dan terurus?
🎐
Allahul Musta'an...

Di kejar singa



Alkisah sebuah mimpi….

Pada suatu masa dahulu, seorang lelaki di dalam mimpinya, terlihat ada seekor singa dengan mengejarnya.

Lelaki tersebut lari ke arah sebatang pokok, memanjatnya lalu duduk di atas sebatang dahan. Dia melihat ke bawah melihat singa itu masih menunggunya.

Lelaki tersebut memandang ke tepi melihat dahan yang didudukinya yang tumbuh daripada pokok tersebut. Terdapat 2 ekor tikus, seekor hitam seekor putih yang sedang mengelilingi dan mengunyah dahan tersebut. Tidak lama dahan tersebut akan patah dan dia bersama dahan akan jatuh ke tanah.

Lelaki itu memandang ke bawah dengan penuh ketakutan dan terlihat ada seekor ular besar berwarna hitam telah datang dan duduk di bawahnya. Ular tersebut membuka mulut besarnya menunggu kejatuhan lelaki tersebut.

Lelaki tersebut melihat ke atas mencari samada ada dahan lain yang boleh dipegangnya.

Dia ternampak sebatang dahan dengan sarang lebah bermadu. Madu sedang menitis daripada sarang tersebut. Lelaki tersebut ingin merasai madu tersebut. Dia mengeluarkan lidah dan merasa titik-titik madu yang terjatuh daripada sarang lebah tersebut. Sedap bukan main. Dia ingin merasa lagi, dan merasa lagi sehingga dia alpa dalam kemanisan madu tersebut.

Dia terlupa yang dua ekor tikus sedang mengunyah dahan, singa di bawahnya dan ular besar hitam yang sedang membuka mulut menunggu kejatuhannya.

Dahan itu terputus… dia teringat segala bentuk bahaya dan tersedar daripada tidur…

Lelaki itu merasakan mimpi itu pelik dan berjumpa dengan ustaz untuk menafsir mimpi….

Ustaz tersebut berkata…

“Singa itu kematian… Ia mengejar anta dan ikut ke mana anta pergi.

Dua tikus, seekor putih dan seekor hitam, adalah siang dan malam. Mereka berpusing mengunyah dahan sama seperti masa anta di dunia ini semakin mendekati kematian.

Ular besar berwarna hitam itu ialah liang lahad anta. Ia berada di sana menunggu anta jatuh ke dalamnya.

Sarang lebah madu ialah dunia, madu tersebut ialah kemewahan di dunia ini. Anta seperti manusia lain ingin mencuba segala kemewahan di dunia ini dan ia adalah manis. Setiap kali, anta mencuba kemanisan tersebut, anta ingin mencuba lebih banyak lagi… dan banyak lagi sehingga anta alpa dan terlupa tentang masa, kematian dan liang lahad yang menanti…

sumber

Alkisah seorang penjual



image cilok kat sini


Ali seorang yang penjual yang tekun… beliau menjual alat-alat pendidikan kanak-kanak.

Setiap hari beliau berdoa agar dilancarkan urusan hariannya dipermudahkan Allah, diharap mudah dijual dan selamat dalam perjalanan.

Setiap pagi, Ali perlu melalui berpuluh km untuk menyelesaikan tugasnya. Pemanduannya cukup dijaga kerana jalan yang dilaluinya banyak roadblock polis setiap hari untuk mengelakkan saman trafik.

Pelanggan Ali pula tidak menentu – ada yang ok, ada yang cerewet, malah ada yang ‘membuli’ beliau.

Dengan keyakinan bahawa doa beliau akan dimakbulkan, Ali menekadkan semangat dan terus tekun bekerja mencari rezeki.


..                                 ...  Nescafe bagi hadiah                                 ..




Namun, setelah setengah tahun mencuba, prestasi jualan Ali tidak baik. Ada bulan yang prestasi jualannya jatuh merudum, Ali merungut bertanya mengapa Allah tidak membantu menguruskan urusan sehariannya.

Ali bertanya mengapa Allah tidak membantunya sedangkan beliau tekun setiap hari berulang-alik sana sini untuk menjual barangannya.

Ali seorang yang menjaga tindak-tanduknya berasa beliau seorang yang kurang berdosa – jadi mengapa Allah merumitkan hidup beliau.

Ali tidak faham dan terus merungut sendiri dan terus merasakan dirinya malang… namun begitu, beliau meneruskan kareernya sebagai penjual dengan tekun…

Sehingga satu hari, beliau bertemu dengan taukeh pemborong alat-alat pendidikan kanak-kanak brand A yang kagum dengan ketekunan dan keazaman Ali cuba menjual produk brand B…

“Berminat ke Ali nak join company saya? Saya menawarkan dua kali ganda gaji untuk Ali,” tanya pemborong itu.

Ali seronok, tetapi berfikir, prestasi jualannya bukanlah baik sangat, mengapa pemborong ini berminat padanya…

“Saya penjual yang tak seberapa… mengapa tuan berminat pada saya?” tanya Ali yang gembira, tapi seolah-olah tidak percaya pada nasibnya.

“Ali tahu produk syarikat yang Ali sedang jual ini – namanya tidak berapa baik di pasaran, tapi Ali masih cuba dengan tekun dan berhemah sehinggakan kedai-kedai yang Ali cuba menjual produk Ali menyuruh saya mengambil Ali. Mereka rasa Ali ada potensi untuk cemerlang bekerja dengan saya…” kata pemborong tersebut.

Ali menerima dengan gembira pujiannya – ketekunannya akhirnya berhasil – Ali seterusnya bertanya – apa dokumen yang perlu untuk permohonan kerja baru ini…

“IC dan lesen kereta cukup… dan boleh join bulan depan, tak perlu interview,” kata pemborong itu.

Ketika Ali mengeluarkan IC dan lesen memandunya, Ali terkejut.

Ali tersentak melihat tarikh 05/04/12.

Rupa-rupanya lesen memandunya dah tamat tempoh 6 bulan yang lepas.

Ali mengimbas kembali nasibnya 6 bulan, yang dalam perjalanan untuk menjual produk, sudah beberapa kali Ali melalui perangkap polis tanpa disiasat lesen memandu yang telah mati.

Ali teringat bagaimana ada satu hari, kereta Ali di highway tetapi tingkap belakangnya tidak dapat ditutup, tetapi tetiba hujan lebat turun – dan disebabkan takut produknya basah kuyup Ali memandu secara cepat sehingga ditahan polis…

Apabila polis itu hendak menyoal Ali dan suruh mengeluarkan lesen kereta, tetiba polis itu menerima telefon kecemasan dan bergegas ke tempat yang lain.

Tetiba, Ali berasa bersalah.

Ali teringat segala rungutan dirinya terhadap Allah yang dia tuduh tidak menyayangi beliau.

Hati Ali sayu – sedih memikirkan sikapnya yang bersangka buruk pada Allah. Ali tersedar rupa-rupanya Allah menjaganya setiap hari sepanjang 6 bulan lepas ketika lesen memandu dia mati. Tiada satu hari pun yang Allah tidak menjaga hambanya, walaupun dia yang bersangka buruk pada-Nya….

Segala tuduhan pada Allah adalah silap, Allah sebenarnya menjaganya setiap hari tanpa putus-asa.

“Rupa-rupanya Allah menjaga dan sayang saya selama ini… segala doa saya didengari… sehinggalah saya kini bertemu dengan taukeh yang lebih baik dan Allah melalui taukeh ini memberitahu saya lesen memandu dah mati dan saya silap bersangka buruk kepada-Nya selama ini….

“Ya Allah. Maafkan saya,” bisik Ali di hatinya.

Wahai anakku,
Aku nukilkan kisah ini buat engkau. Aku berharap ini sedikit sebanyak dapat meniup sedikit keinsafan kepada kamu, yang pernah bersikap seperti Ali dalam bersangka buruk kepada Allah ketika melalui liku-liku kehidupan yang mencabar.


credit

Mana Mak


Baca hingga habis cerita ini, bukan nukilan aku tapi cukup dalam pengertiannya. Sekadar berkongsi cerita yang aku dapat daripada Faizah, rakan sekelas, SMSJ.



Jam 6.30 petang.


Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bungsu balik dari sekolah agama.

Ayah baru balik dari sawah.

...

Ayah tanya Mak, “Along mana?’

Mak jawab, “Ada di dapur tolong siapkan makan.”

Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?”

Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.”

Ayah tanya Mak, “Ateh mana?”

Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?”

Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?”


Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.”


Mak jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.


Dua puluh tahun kemudian


Jam 6.30 petang


Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari.

Ayah tanya Along, “Mana Mak?”

Along sedang membelek-belek baju barunya. Along jawab, “Tak tahu.”

Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”

Angah menonton tv. Angah jawab, “Mana Angah tahu.”


Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?”

Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah.


Ayah tanya Ateh lagi, "Mana Mak?"

Ateh menjawab, “Entah.”

Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah.
Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”
Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu.
Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu.

Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang mencari-cari di mana Mak.


Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, "Mana Mak?"


Tiba-tiba adik bungsu bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!”


Tersentap hati Ayah mendengar kata-kata Adik.


Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan tanya "Mana Mak?" apabila Mak tidak menunggu mereka di depan pintu.


Mereka akan tanya, "Mana Mak." Apabila dapat nomor 1 atau kaki melecet main bola di padang sekolah. Mak resah apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika.

Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya 'Mana Mak?"

Semakin anak-anak Mak besar, soalan "Mana Mak?" semakin hilang dari bibir anak-anak Mak .


Ayah berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut.


Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan.


Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat. Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak lakukannya.


Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang ini.


Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi.


Mak letakkan bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus kueh koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda faham.


Semasa menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat berkata kepada Mak Uda, "Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh koci kamu ni."


Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kueh koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat. Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala Mak.

Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur.


Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak makan kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi.


Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan.


Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu.


Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan setiap malam.


Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak.


Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab, "Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak berangkat."


Mak minta Mak Uda telepon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta. Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya. Tidak ada siapa yang datang jemput Mak.


Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak ingat kata-kata ayah, “Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun. Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang merasa anak-anak mengangkat kita kat bahu mereka.”


Mak faham buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak.


Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan.


Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.

Beberapa tahun kemudian

Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”.

Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.”

Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit.

Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi.


Dalam isakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa Mak semasa anak-anak Mak kecil dulu.


Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa ayah telepon untuk beritahu mak sakit tenat.


Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak.

Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak..

Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai.


Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah,


"Mana Along?" , "Mana Angah?", "Mana Ateh?", "Mana Alang?", "Mana Kak Cik?" atau "Mana Adik?". Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya.


Ayah sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari ini tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , "Mana mak?" "


Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu, "Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal."


"Ayah, ayah....bangun." Suara Ateh memanggil ayah. Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh..

Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana Mak?"

Ayah tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan "Mana Mak?" masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia.

Sebuah cerita pendek buat tatapan anak-anak yang kadang-kadang lupa persaan ibu. Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung resah, apabila tua dilambung rasa. Kata Rasulullah saw. ibu 3 kali lebih utama dari ayah. Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri, pekerjaan dan anak-anak sebenarnya. Solat sunat pun Allah suruh berhenti apabila ibu memanggil. Berapa kerapkah kita membiarkan deringan telepon panggilan dari ibu tanpa berjawab?


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...